Ada yang tidak puas hati agihan kerusi Pakatan-BN, kata pemimpin akar umbi


Diyana Ibrahim

Pemimpin akar umbi berkata masalah akan timbul jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2023.

RUNDINGAN pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah mula mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong kedua-dua parti, yang boleh menjejaskan kerjasama mereka dalam pilihan raya negeri yang dijangka akan diadakan awal Ogos ini, kata pemimpin akar umbi.

Kata mereka, walaupun pimpinan dan jentera di akar umbi dilihat terbuka untuk bekerjasama, masalah akan timbul jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pembahagian kerusi.

Seorang pemimpin akar umbi Umno di Kelantan yang tidak mahu mendedahkan namanya berkata sudah mula ada suara yang tidak berpuas hati dengan jumlah pengagihan kerusi antara BN dan PH di negeri itu.

Masalah bermula apabila mesyuarat Umno Kelantan mendedahkan PH akan bertanding 14 kerusi dewan undangan negeri (DUN) sementara BN 31 kerusi.

“Jadi timbul suara dari bawah (akar umbi) tidak puas hati apabila PH mendapat 14 kerusi DUN.

“Secara umumnya PH mendapat satu kerusi DUN bagi satu kawasan Parlimen. Jadi ada yang tidak puas hati kerana ada pertembungan, contohnya kawasan DUN bawah Parlimen Kuala Krai seperti Guchil dan Dabong.

“PKR minta kerusi itu dan kita difahamkan Amanah pun nak juga kerusi itu. Umno negeri pun sebenarnya tak nak lepaskan juga. Tapi inilah keputusan dari pusat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Awal bulan ini, Utusan Malaysia melaporkan jentera Umno Terengganu enggan bekerja untuk memenangkan calon PKR dan Amanah dalam pilihan raya negeri nanti.

Laporan itu memetik sumber berkata mereka menolak calon PH kerana gabungan itu tiada sokongan di Terengganu.

Umno Terengganu menafikan dakwaan tersebut namun pemimpinnya mengakui wujud sedikit konflik berkaitan jumlah kerusi yang diminta PH negeri itu.

Enam negeri yang belum mengadakan pilihan raya ini mempunyai mandat sehingga sekitar hujung Jun dan awal Julai.

Kecuali DUN Pulau Pinang yang berakhir 1 Ogos, mandat DUN di lima negeri lain berakhir antara 25 Jun dan 3 Julai, menjadikan tempoh 60 hari pilihan raya perlu diadakan bagi lima negeri itu sebelum awal September.

Dalam pada itu, pemimpin Umno Kelantan itu juga berkata suasana menjelang pilihan raya negeri ini nampak dingin kerana belum ada persiapan untuk penyelarasan biarpun DUN dijangka dibubarkan selepas pertengahan bulan depan.

Beliau bimbang keadaan ini akan menjejaskan semangat jentera parti yang menjadi tulang belakang setiap gerak kerja pilihan raya.

“Umno BN tak buat apa persiapan lagi, jangan kata penyelarasan antara PH dah BN tapi penyelarasan dalam BN sendiri pun tak dibuat lagi sedangkan bulan depan DUN akan dibubar.

“Jadi jentera akar umbi ini mereka tertanya- tanya, terkapai- kapai dan akhirnya yang kita bimbang mereka akan patah semangat,” katanya.

Beliau percaya suasana suram ini ada kaitan dengan pemilihan Umno baru-baru ini, yang berlangsung pada pertengahan Mac.

“Mereka yang kalah (pemilihan parti) tidak mahu terlibat. Mereka langsung tidak mahu membantu ambil tahu pasal parti.

“Sebab itu kalau di peringkat bawah kita sendiri pun tak letak harapan tinggi dalam PRN kali ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang Mohammad Fadzli Roslan juga tidak menolak isu pembahagian kerusi akan menjadi cabaran dalam kerjasama antara BN dan PH.

Katanya, cabaran itu boleh diatasi sekiranya semua pihak senada untuk menang pilihan raya.

“Kerisauan kita itu ada sekiranya pembahagian kerusi ada tak dipersetujui di peringkat parti masing- masing.

“Kita tahu bila kita nak ada koalisi ini kena situasi menang, menang. Nak kata sama rata itu tidak, tapi kita kena tengok kekuatan yang harus diutamakan, penyandangnya yang perlu diutamakan.

“Kita nak pastikan kita boleh menang di Pulau Pinang, nak sapu bersih 40 DUN,” katanya.

Fadzli berkata sayap pemuda antara parti sedia bekerjasama walaupun ada parti yang tidak akan diberikan kerusi pada pilihan raya nanti.

Katanya, keutamaan mereka adalah untuk membantu parti menang.

Bahkan katanya, sayap pemuda juga sudah mula aktif menggerakkan program, membayangkan kerjasama antara PH dan BN berjalan dengan baik.

“Biarpun program rasmi untuk PRN belum ada lagi, tapi di peringkat sayap pemuda antara koalisi termasuk BN dan Umno, kita sudah mula merangka program bersama,” katanya.

Beliau memberi contoh kesepakatan mereka dalam beberapa isu setempat serta perancangan untuk menganjurkan sesi dialog dengan anak muda.

“Jadi kerjasama di peringkat sayap pemuda itu sangat baik. Tak ada isu berbangkit. 

“Bagi kita biarlah isu pembahagian kerusi itu diputuskan oleh pimpinan tertinggi,” katanya. – 29 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen