BN Terengganu izin Pakatan guna lambang dacing


Diyana Ibrahim

BN Terengganu berkata mereka tiada halangan bagi Pakatan Harapan menggunakan mana-mana logo dalam PRN itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2023.

BARISAN Nasional (BN) Terengganu sedia mengizinkan Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo dacing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata pemimpin parti.

Ketua penerangan Umno negeri Nik Dir Nik Wan Ku memberitahu The Malaysian Insight, BN Terengganu tiada halangan bagi PH menggunakan mana-mana logo dalam PRN itu.

“Kita belum bincang secara rasmi tapi BN sudah putuskan nak bertanding guna logo BN dalam PRN.

“Tapi kalau  calon PH terserah pada mereka nak guna logo apa kalau PH nak guna logo BN kita terima tak ada masalah, Umno Terengganu izinkan,” katanya.

Beliau ditanya perkara itu susulan laporan yang mendakwa ketegangan akan timbul sekiranya calon PH tetap menggunakan lambang parti sendiri dalam pilihan raya tersebut.

Laporan portal Utusan Malaysia hari ini mendakwa jentera Umno negeri enggan bekerja bagi memenangkan calon PKR dan Amanah dalam pilihan raya negeri akan datang

Sumber dipetik dalam laporan tersebut berkata, penolakan itu disebabkan PH tiada sokongan di negeri pantai timur itu.

Perkara itu dinafikan Nik Dir yang berkata BN dan Umno Terengganu tidak pernah membangkitkan soal protes terhadap calon PH dalam sebarang perbincangan bersama.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan wujud sedikit konflik berkenaan jumlah kerusi yang mahu ditandingi PH dalam perbincangan awal.

“Bab pengagihan belum ada keputusan rasmi lagi. Ia hanya perbincangan tak rasmi masa majlis perkenalan antara BN dan PH negeri.

“Pada waktu itulah kita tanya PH nak berapa kerusi. Mereka kata nak 12 kerusi dan sebut calon mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan perbincangan setakat itu juga melibatkan potensi calon yang dikemukakan.

“Tapi Pengerusi Umno Ahmad Said kata kalau calon ini susah nak menang, buat kalah deposit sahaja.

“Itu sahaja yang berlaku. Kita tak pernah kata nak protes kerana belum ada lagi keputusan muktamad,” kata Nik Dir Lagi.

Pemimpin Amanah di negeri jirannya, Kelantan pada akhir bulan lalu sudahpun menyatakan kesediaan untuk menggunakan lambang BN dalam PRN akan datang.

Ketua Amanah Ketereh Che Ibrahim Mohamed dilaporkan berkata, langkah itu memperbesarkan peluang mengalahkan PAS serta Perikatan Nasional (PN) di Kelantan.

Cadangan itu juga atas kesedaran bahawa PH masih belum diterima dengan meluas di kedua-dua negeri itu.

Februari lepas, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan semua calon BN yang bertanding dalam PRN akan kekal menggunakan lambang dacing.

Parti lain dalam kerajaan Perpaduan akan gunakan lambang pilihan masing-masing.

Laporan Utusan hari ini menyebut PH Terengganu bakal bertanding di 12 kerusi DUN yang kini dikuasai PAS di negeri itu, antaranya Chukai, Kemasik, Sura, Rantau Abang dan Rhu Rendang.

Turut disenaraikan, Alor Limbat, Bandar, Batu Buruk, Manir, Buluh Gading, Kota Putera dan Jabi.

Kesemua enam negeri yang bakal mengadakan PRN dijangka membubarkan DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun.

Menteri besar dan ketua menteri dari enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran itu. – 9 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen