Malaysia perlu tandatangan resolusi konvensyen pelarian, kata akvitis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menurut UNHCR, sehingga tahun lalu Malaysia menampung sekitar 200,000 pelarian Rohingya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2023.

AKTIVIS migran menggesa kerajaan menandatangan resolusi konvensyen pelarian bagi menguruskan minoriti itu dan menjamin hak asasi mereka.

Selain itu, kerajaan patut menyediakan peluang pekerjaan dan penempatan kepada pelarian bagi mengelak pergeseran dengan warga tempatan, menurut aktivis ini.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy berkata tanggungjawab untuk penyediaan pekerjaan dan penempatan itu perlu dirunding dengan badan antarabangsa.

Katanya, ia perlu diselaras dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kerana penempatan semula pelarian mengambil masa yang lama.

“Jadi, Malaysia yang sudah lama menerima kehadiran pelarian perlu menjadi tunjang utama bagi memastikan kebajikan mereka lebih terjaga.

“Bagi pekerjaan, kita tahu kadang-kadang ia boleh menimbulkan pergeseran dan kerisauan dalam kalangan warga tempatan kerana khuatir pasaran kerja untuk mereka terjejas,” kata Sevan.

Pada masa sama, peluang kerja untuk rakyat tempatan tidak harus digantikan dengan tenaga luar, katanya.

“Kalau boleh peluang pekerjaan untuk warga tempatan ini jangan lagi diganti dengan mengimport pekerja dari negara luar supaya tidak mendatangkan masalah nanti,” katanya.

Beliau seterusnya mencadangkan kerajaan menyediakan penempatan kepada pelarian demi menjaga keperluan golongan itu.

“Kerajaan boleh mewujudkan satu penempatan selesa yang mana golongan pelarian boleh tinggal dengan selamat meskipun mungkin perlu membayar sedikit sewa. Dengan ini, keperluan mereka akan lebih terjaga.

Menurut UNHCR, sehingga tahun lalu Malaysia menampung sekitar 200,000 pelarian Rohingya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2023.

Organisasi hak migran North South Initiative (NSI) pula menegaskan Malaysia perlu  menandatangani Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai penyelesaian.

Pengarah eksekutifnya Adrian Pereira berkata Malaysia akan terus berdepan masalah ini selagi tidak menandatangani konvensyen itu.

“Jika kita mahu memainkan peranan dalam isu pelarian, kita hanya perlu menandatangani Konvensyen (Pelarian PBB).

“Apabila Malaysia bukan sebahagian daripada konvensyen itu, mereka menganggap semua pelarian sebagai pendatang tanpa izin. Pelarian ini adalah kumpulan tanpa kerakyatan.

“Malaysia tidak dapat menghantar pulang mereka, sementara UNHCR mengambil masa bertahun-tahun untuk menempatkan mereka di negara lain,” katanya.

Tanpa ratifikasi tersebut, masalah pelarian terus kritikal di Malaysia, kata seorang lagi aktivis warga asing dan pelarian, Alex Ong.

Menurutnya, kad UNHCR hanya dilihat sebagai kad pengenalan untuk pelarian transit atau pencari suaka dan hak mereka tidak dipelihara jika Malaysia tidak menandatangani konvensyen itu.

“Malaysia tiada kewajipan untuk menjaga pelarian manakala UNHCR lewat untuk menguruskan penempatan semula ke negara ketiga yang sanggup menerima pelarian ini.

“Isu ini sangat bersifat politik kerana pelarian hanya dilayan sebagai orang transit tanpa kerakyatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, keadaan pelarian berbeza dengan pendatang asing yang boleh dihantar pulang ke negara asal mereka jika melakukan kesalahan imigresen di negara ini.

“Atas dasar kemanusiaan Malaysia tidak boleh menghantar pulang mereka atau membenarkan mereka tinggal untuk tempoh yang lama.

Jadi penempatan semula adalah penyelesaian tetap untuk mereka…(tetapi) mereka tiada tempat untuk pergi secara tetap.

“Mereka tidak boleh pulang ke negara asal yang masih dalam keadaan tidak selamat, keadaan ini memang kompleks dari segi sosial-ekonomi dan politik,” katanya.

Sementara itu, Mahi Ramakrishnan, seorang aktivis hak asasi manusia berkata pula mengakui UNHCR berdepan kekangan dalam menguruskan penempatan di negara ketiga.

“Sekarang ini, banyak sempadan masih ditutup. Ada negara yang membina tembok yang lebih tinggi dan menyediakan dasar suaka yang tidak mesra,” katanya.

Perkara itu menyebabkan pencari suaka terdesak menggunakan perkhidmatan penyeludup untuk masuk ke negara seperti United Kingdom, Hungary, Croatia dan Jerman.

“Walaupun banyak negara Eropah bermurah hati mengalu-alukan orang Ukraine yang ditempatkan semula, ini tidak dilanjutkan kepada pencari suaka dari negara lain di dunia.

“Jadi, UNHCR tidak boleh disalahkan atas kelewatan penempatan semula pelarian di Malaysia ke negara ketiga,” katanya. – 22 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen