Masa bukan isunya tapi apa agenda Anwar untuk reformasi, tanya aktivis


Anwar dituntut menjelaskan bila dan bagaimana beliau mahu melaksanakan reformasi yang dilaungkan selama ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2023.

TIDAK mengapa jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahukan lebih masa untuk meneruskan agenda reformasi namun beliau perlu menyatakan rancangan pelaksanaan perubahan itu dengan jelas, kata kumpulan hak asasi.

Kenyataan ini muncul selepas Anwar meminta aktivis bersabar untuk mengelak kerajan membuat sebarang kesilapan politik.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sebelum ini mengkritik Anwar dengan menyifatkan Ahli Parlimen Tambun itu akan menjadi perdana menteri paling teruk jika gagal menunaikan janji reformasi yang dibuat Pakatan Harapan (PH) selama ini.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata kelewatan pelaksanaan agenda reformasi itu bukan kesilapan Anwar semata-mata tapi juga seluruh barisan Kabinet kerajaan hari ini.

Katanya, tiada masalah dengan masa yang diminta Anwar namun Pengerusi PH itu perlu jelaskan bila dan bagaimana beliau mahu laksanakan perubahan yang perlu itu.

“Saya tak ada masalah jika dia mahu lebih masa tapi apa agendanya? Kita tak nampak apa-apa. Walaupun saya faham, perkara seperti akta Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-langkah Khas), sudah ada perbincangan.

“Tapi bagaimana dengan Akta Hasutan atau Akta Perhimpunan Aman? Isu hak politik seperti kebebasan bersuara, di mana perubahannya? Kita kena tanya kerajaan,” kata Sevan.

Sevan turut mengkritik Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwanya membuat kenyataan ‘kitar semula’ berbanding menyelesaikan masalah utama.

Katanya, Saifuddin masih belum bertemu dengan wakil badan bukan kerajaan (NGO) untuk membincangkan soal isu hak asasi manusia di negara ini.

“Ini bukan soal Anwar sahaja tapi seluruh Kabinetnya. Saifuddin tak buat apa-apa kecuali buat kenyataan yang sama berulang kali. Dia hanya kitar semula kenyataan lama yang dah dibuat sebelum ini.

“Tiada perbincangan dengan kumpulan masyarakat sosial sampai hari ini. Sebagai orang yang pernah ditahan tidak mengikut undang-undang dia patutnya lebih tahu,” kata Sevan lagi.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata kelewatan pelaksanaan agenda reformasi bukan kesilapan Anwar semata-mata tapi juga seluruh barisan Kabinet kerajaan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2023.

Namun Sevan menegaskan Suaram bukannya antikerajaan.

“Kami sedia membantu kerajaan dalam isu seperti ini. Kami kritik kerana kami percaya kerajaan ini boleh lakukan perubahan. Anwarada peluang untuk menjadi perdana menteri terbaik tapi jika dia gagal lakukan perubahan, dia mungkin akan jadi yang paling teruk. Itu maksud saya,” katanya.

Pada Jumaat, Anwar berkata kerajaan komited dalam isu hak asasi manusia dan perlu melihat kepada semua sudut termasuk perundangan sebelum melakukan reformasi yang mengambil masa.

“Kami berurusan dengan rakyat. Kita telah melihat kesilapan dengan (cubaan ratifikasi) ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum),”

“Kami (kerajaan) komited dalam isu hak asasi manusia. Kami sudah melakukan langkah-langkah dan setiap perundangan yang kami lihat…tetapi anda perlu memberi masa (untuk kami melakukan reformasi),” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jaminul Ehsan, Kampung Kubu Gajah pada Jumaat lalu.

Senada dengan Sevan, Khalid Ismath daripada Eliminating Death and Abuse in Custody Together (Edict) berkata jika Anwar meminta masa beliau sepatutnya mengumumkan penggantungan ke atas semua siasatan berkaitan isu hak asasi manusia

“Tak ada masalah jika dia mahu lebih masa dan kita boleh tolak ansur tapi dia perlu hentikan semua siasatan yang tak perlu kerana berbeza pendapat.contohnya lelaki yang mengkritik Sultan Johor tidak sepatutnya direman.

“Dalam kes ini Dr Mahathir Mohamad lagi bagus. Masa dia jadi perdana menteri, tiada siapa ditahan kerana mengkritik sesiapa. Ya polis ambil keterangan individu tersebut tapi tidak ditahan,” katanya.

Lakukan segera

Sementara itu bekas pengerusi Otai Reformis Abdul Razak Ismail menggesa Anwar untuk melaksanakan agenda reformasi itu segera kerana katanya tiada jaminan perdana menteri itu akan menang lagi pada pilihan raya akan datang.

Bekas ahli PKR ini juga bertanya jika Anwar ada hasrat untuk menggunakan Sosma terhadap musuh politiknya selepas kerajaan memutuskan untuk mengekalkan undang-undang tersebut.

“Jika anda kata anda dari parti reformis maka reformasi itu perlu segera, tak boleh tangguh lagi.

“Anda pernah ditahan dan dianiaya tetapi bila dah berkuasa anda putuskan untuk kekalkan Sosma. Kawan-kawan anda pernah jadi mangsa undang-undang ISA yang lama. Bagaimana anda boleh biarkan Sosma itu wujud.

“Dia sepatutnya utamakan perubahan yang dia sebut sejak dulu,” kata Razak. – 30 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen