PSM bantah umur bersara kakitangan bank naik kepada 61 tahun


Alfian Z.M. Tahir

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) tidak bersetuju dengan umur persaraan mandatori baharu bagi kakitangan bank komersial yang kini dinaikkan kepada 61 tahun di bawah perjanjian kolektif baharu.

Parti yang memperjuangkan hak pekerja itu berkata Malaysia sebaliknya perlu mencari jalan untuk menawarkan pekerjaan kepada golongan muda bagi melindungi warga emas dan menangani kadar pengangguran kronik.

Timbalan pengerusinya, S. Arutchelvan memberitahu The Malaysian Insight realitinya ramai warga emas tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk bersara sekali gus memaksa mereka terus bekerja.

“Pendirian kami ialah tidak bersetuju untuk meningkatkan umur persaraan kerana masalah yang dihadapi sekarang ialah kadar pengangguran yang tinggi membabitkan belia dan ramai daripada mereka ke luar negara seperti Singapura untuk bekerja.

“Kami merasakan usia 60 tahun sebagai umur persaraan sudah memadai. Kita sepatutnya melindungi mereka pada peringkat ini, bukan memaksa mereka untuk terus bekerja. Sistem yang kita pakai sekarang ini adalah satu beban.

“Bukan mereka tidak mahu bersara tetapi mereka tiada pilihan. Mereka tidak mempunyai pencen, tidak cukup KWSP dan simpanan. Walaupun ramai yang akan menyokong mereka bekerja, sebenarnya mereka tidak sepatutnya bekerja lagi.

“Meningkatkan umur persaraan bukanlah penyelesaian, kita harus tangani kadar pengangguran dan mencari mekanisme bagaimana untuk membantu golongan tua yang akan bersara,” katanya.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) J Solomon berkata usia persaraan baharu kakitangan bank komersial di negara ini naik kepada 61 tahun iaitu setahun lebih tua berbanding kakitangan sektor lain di negara ini.

Usia persaraan baharu itu termasuk dalam Perjanjian kolektif (CA) baharu ditandatangani NUBE dengan Persatuan Bank Komersial Malaysia.

Kata Soloman, bank-bank bersetuju dengan permintaan kesatuan untuk melanjutkan usia persaraan bagi membantu meningkatkan simpanan persaraan pekerja kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan berpendapatan 40 peratus sederhana (M40).

“Kesatuan meminta agar usia persaraan dilanjutkan hingga 65 tahun tetapi Persatuan Bank Komersial Malaysia bimbang mengenai tahap kesihatan pekerja-pekerja ini,” katanya.

Solomon berkata, lanjutan had usia persaraan kepada 61 tahun itu juga tertakluk kepada kesihatan pekerja dan akan bersifat sukarela.

Sebelum ini, Presiden NUBE Michael Tan Eng Hong dilaporkan berkata keputusan untuk menaikkan umur persaraan kakitangan bank komersial kesatuan termaktub dalam Akta Pekerjaan 1955.

Memetik laporan NST, Tan berkata keputusan menaikkan umur persaraan daripada 60 tahun kepada 61 adalah perkara teknikal dan sah.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen