PAKATAN Harapan (PH) menolak permintaan PSM supaya parti itu dibenarkan bertanding di Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusinya S Arutchelvan hari ini.
Beliau berkata, parti itu dimaklumkan mengenai keputusan PH menerusi surat rasmi bertarikh hari ini.
“Tanpa satu kerusi pun diberikan, kita faham PH tidak mahukan pakatan pilihan raya dengan PSM.
“Kami kesal dengan perkara yang dimaklumkan kepada kami lewat walaupun kenyataan Timbalan Presiden PKR Rafizi (Ramli) pada Jumaat beberapa kerusi diperuntukkan untuk PSM dan Muda,” kata Arutchelvan.
Dalam perkembangan berasingan, presiden PKR dan pengerusi PH Anwar Ibrahim mengumumkan S Kesavan PKR akan mempertahankan kerusi Sungai Siput.
PSM merancang untuk menamakan pengerusinya Dr Michael Jeyakumar sebagai calon dengan mendapatkan sokongan PH.
Pada pilihan raya umum lalu, Kesavan dari PKR menewaskan Jeyakumar di kerusi yang pernah menjadi kawasan tradisi MIC sehingga 2008.
Pada PRU15, presiden MIC SA Vickeneswaran dijangka bertanding di Sg Siput.
Arutchelvan berkata, PSM meminta pakatan pilihan raya dengan PH kerana menjadi hasrat ahli, penyokong serta ahli masyarakat sivil supaya PSM tidak bersendirian tetapi menyertai gabungan.
“PH melalui saluran rasmi bersetuju satu proses mengenai pakatan pilihan raya dengan PSM akan dimulakan.
“Dalam dua pertemuan yang diadakan antara kami dan PH, PSM mengemukakan permintaan yang sangat minimum. Kami meminta pengerusi kami Dr Jeyakumar dibenarkan bertanding kerana beliau adalah calon terbaik dan boleh menang untuk Sungai Siput,” katanya.
“Kami kecewa kerana tiada usaha serius dibuat oleh PH untuk mempercepatkan proses ini atau mencari jalan walaupun banyak usaha di pihak kami,” tambahnya.
“Kami hanya ingin memberitahu ahli dan penyokong kami yang kami sudah mencuba. Pakatan sudah berakhir tetapi bukan perjuangan.”
Beliau berkata PSM akan mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Pusat hari ini serta Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan esok untuk memutuskan sama ada ia akan bertanding atau tidak pada PRU15. – 30 Oktober, 2022.
Komen