USAHA mengesan pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang hilang Muhammad Hawari Hashim, 33, diteruskan dengan bersungguh-sungguh.
Pendaki gunung negara Tiong Ling Yang berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan malim gunung pada Sabtu untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melalui darat hari ini.
Tiong berkata, pasukannya masih terkejut dengan kehilangan Hawari dan kematian pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah (CDF) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, baru-baru ini.
“Saya disuruh turun ke Everest Base Camp (EBC) untuk menguruskan operasi SAR Hawari manakala ketua misi, Azim Afif Ishak mengendalikan proses menurunkan jenazah Awang Askandar ke Kem 2 supaya jenazah boleh dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi New Straits Times.
Jelasnya, sehingga Sabtu, jenazah Awang Askandar masih berada di Kem 4 dan tidak dapat diturunkan atas beberapa faktor termasuk cuaca.
Sementara itu, pengurus pasukan, Ayu Wanirah Naharudin berkata, SAR semalam dijalankan melalui udara tetapi tiada kelibat Hawari setakat ini.
Pada hari kejadian, Ayu Wanirah berkata beliau bersama Azim Afif dan Tiong di Kem 2 apabila mereka menerima berita mengejutkan daripada seorang malim gunung melalui walkie-talkie.
Pasukan itu terputus hubungan dengan Hawari pada jam 3.30 petang waktu Nepal (5.45 petang waktu Malaysia) selepas mereka dimaklumkan oleh Hawari mengenai kejayaannya mencapai kemuncak Khamis lalu melalui walkie-talkie.
Operasi SAR, yang terdiri daripada lapan malim gunung, digerakkan pada hari yang sama (pasukan diberitahu mengenai kehilangan Hawari) sehingga jam 11 malam.
Dianjurkan oleh Altitude Exploration Club, ME2023 memulakan misi dua bulan untuk menakluki puncak tertinggi dunia pada 2 April dengan sokongan kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan.
Misi itu juga bertujuan menggalakkan perpaduan dan membina negara Malaysia melalui kepelbagaian etnik. – 21 Mei, 2023.
Komen