PASUKAN penyelamat meneruskan pencarian di Himalaya India pada Rabu untuk mencari 26 pendaki hilang akibat runtuhan salji yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat anggota ekspedisi mereka.
Puluhan pelatih pendakian terperangkap dalam gelongsor salji pagi Selasa berhampiran puncak Gunung Draupadi ka Danda-II di negeri utara Uttarakhand.
Seramai 12 orang diselamatkan dari tempat kejadian, sekitar 4,900m dari paras laut, sebelum salji lebat dan hujan menghentikan usaha menyelamat pada sebelah malam.
“Cuaca baik sekarang dan operasi menyelamat disambung semula,” kata jurucakap agensi bencana negeri Uttarakhand, Ridhim Aggarwal kepada AFP.
“Sekurang-kurangnya 26 orang masih hilang,” katanya, sambil menambah tiada seorang pun daripada mereka yang diselamatkan mengalami kecederaan serius tetapi ada yang dalam pemerhatian di hospital.
Empat pendaki disahkan maut pada Selasa selepas anggota ekspedisi tersepit di rekahan selepas runtuhan salji berlaku.
Akhbar media tempatan melaporkan penyelamat menemui enam mayat lain sebelum cuaca buruk menghentikan pencarian, tetapi agensi bencana negeri masih belum menambah angka rasminya.
Institut Pendakian Gunung Nehru berkata kumpulan itu termasuk 34 pelatih dan tujuh pengajarnya.
Pegawai kanan pengurusan bencana Devendra Singh Patwal memberitahu dua helikopter tentera udara dihantar ke wilayah itu untuk membantu pencarian.
Kemalangan maut mendaki sering berlaku di kawasan berbahaya di Himalaya, lokasi terletaknya Everest dan beberapa puncak tertinggi di dunia.
Pada Ogos lalu, mayat seorang pendaki gunung ditemui dua bulan selepas terjatuh ke dalam rekahan ketika menyeberangi glasier di negeri jiran Himachal Pradesh.
Dan minggu lalu, mayat pendaki gunung ski terkenal AS Hilaree Nelson ditemui di lereng puncak Manaslu Nepal selepas hilang ketika bermain ski menuruni gunung kelapan tertinggi di dunia itu.
Pada hari kemalangan, runtuhan salji berlaku di gunung setinggi 8,163m, membunuh pendaki Nepal Anup Rai dan mencederakan belasan lain yang kemudiannya diselamatkan.
Walaupun tiada penyelidikan besar dilakukan mengenai kesan perubahan iklim terhadap risiko pendakian gunung di Himalaya, pendaki melaporkan rekahan melebar, air mengalir di cerun bersalji sebelum ini, dan peningkatan pembentukan tasik glasier. – AFP, 5 Oktober, 2022.
Komen