Kementerian teliti cadangan polisi kesihatan suara, kata timbalan menteri


Kementerian Sumber Manusia akan meneliti cadangan awal bagi merangka polisi berkenaan kesihatan suara dan keselamatan peti suara bertujuan melindungi golongan profesional yang menggunakan suara dalam kerjaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2023.

KEMENTERIAN Sumber Manusia akan meneliti cadangan awal bagi merangka polisi berkenaan kesihatan suara dan keselamatan peti suara bertujuan melindungi golongan profesional yang menggunakan suara dalam kerjaya seperti artis, pendidik dan penceramah.

Timbalan Menteri berkenaan Mustapha Sakmud berkata setakat ini tiada sebarang polisi atau skim perlindungan khusus bagi suara dan profesion yang melibatkan suara kerana kebanyakan polisi perlindungan hanya terhad kepada tubuh badan secara fizikal.

“Terdapat cadangan daripada beberapa pihak termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) untuk mengkaji polisi perlindungan khusus yang boleh digunakan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sekiranya berlaku apa-apa pada suara kita.

“Sebagai contoh di Amerika Syarikat, perkara ini (skim atau polisi perlindungan suara) sudah biasa, tetapi di Malaysia ia masih baharu jadi ini antara yang akan kita bincang dan lihat sama ada sesuai dilaksanakan di negara ini,” katanya di Bangi hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Suara Nadi Kehidupan sempena Hari Suara Sedunia 2023 (World Voice Day 2023) anjuran bersama UKM, Aswara dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

Terdahulu Mustapha dalam ucapannya berkata hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) terhadap guru-guru sekolah rendah di Lembah Klang mendapati 78 peratus daripada mereka mengalami sekurang-kurangnya sekali masalah ketidakselesaan vokal dalam setahun.

Beliau berkata pekerja yang mempunyai masalah berkaitan suara turut dikaitkan isu ketidakhadiran yang ketara, kualiti hidup yang lebih rendah serta mempunyai tahap kebimbangan yang lebih tinggi.

“Saya difahamkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, kira-kira 30 peratus pesakit yang dirujuk kepada ahli terapi pertuturan untuk proses rawatan merupakan pengguna suara profesional iaitu mereka yang bergantung pada suara sebagai punca pendapatan.

“Sehubungan itu, kementerian melihat isu ini amat signifikan dan akan membantu pihak-pihak terbabit untuk mencari jalan melindungi para profesional suara yang juga golongan pekerja yang penting demi kemajuan negara,” katanya.

Mustapha berkata kementerian dan agensinya termasuk NIOSH dan Perkeso akan meneliti isu itu secara menyeluruh agar dapat mencari jalan penyelesaian yang komprehensif demi menjamin kebajikan pekerja yang bergantung kepada suara.

Katanya, kedua-dua agensi ini berupaya membantu pihak terbabit untuk menjalankan penyelidikan, membangunkan modul latihan serta menyediakan pelan perlindungan untuk para profesional suara.

“Sementara kita menunggu pelan pembangunan dan perlindungan komprehensif untuk profesional suara ini dibangunkan, adalah penting untuk kita mengambil langkah yang tepat untuk melindungi kesihatan vokal. 

“Pada masa yang sama, kita perlu mendapatkan bantuan profesional apabila berhadapan dengan masalah berkaitan peti suara bagi membantu mencegah kerosakan serius serta memastikan pemulihan yang lebih cepat,” katanya. – Bernama, 20 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen