Jangan terpedaya iklan telefon bimbit murah di media sosial, kata polis


Alfian Z.M. Tahir

JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran telefon bimbit murah di media sosial.

Dalam catatan di Facebook ibu pejabat polis persekutuan berkata orang ramai tidak boleh mudah percaya dengan tawaran yang terlalu bagus untuk menjadi kenyataan.

“Untuk mengelak diri dari menjadi mangsa penipuan e-dagang, semak profil penjual.

“Penipu akan menggunakan nama-nama syarikat tertentu untuk memperdaya mangsa,” kata JSJK menerusi laman Facebook rasminya.

Polis juga mengingatkan pengguna untuk menyemak ulasan dan komen untuk sebarang hantaran yang dimuat naik oleh penjual.

“Berhati-hati jika diminta untuk melayari website lain, muat turun aplikasi telefon bimbit Kit Pakej Android (APK fail) atau berurusan di WhatsApp.

“Jangan serahkan maklumat peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali” tambahnya.

Polis mencadangkan bakal pembeli menyemak nombor akaun dan nombor telefon penjual melalui laman web SemakMule sebelum membuat sebarang transaksi.

“Mangsa penipuan boleh menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) di 997 atau bank masing-masing untuk melaporkan kes.”

Pada 2019 polis merekodkan 13,703 kes penipuan membabitkan kerugian RM539 juta.

Ia meningkat kepada 17,227 kes pada 2020 dengan kerugian RM511.2 juta direkodkan.

Pada 2021 terdapat 20,701 kes penipuan didaftarkan dengan kerugian berjumlah RM560.8 juta.

Antara Januari dan Julai 2022, 12,092 kes dilaporkan dengan kerugian RM414.8 juta. – 20 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen