Kes remaja dirogol polis: Pulihkan semula keyakinan rakyat kepada badan penguatkuasa


MERUJUK kepada laporan akhbar bertarikh 2 Januari 2023 Angkatan Muda Keadilan kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya insiden yang disyaki dan didakwa berlaku di sebuah balai polis daerah di Alor Setar di mana seorang gadis remaja yang berusia 16 tahun mendakwa dirogol oleh seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat inspektor yang juga merupakan pegawai penyiasat yang sedang menyiasat kes rogol melibatkan gadis remaja tersebut. 

Ternyata insiden ini mencalarkan imej PDRM dan mengakibatkan terhakisnya kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasa keselamatan yang seharusnya menjadi tempat paling selamat buat mereka yang menjadi mangsa jenayah yang ditindas dan dianiaya. 

Meskipun kita sedia maklum siasatan sedang dijalankan di mana pegawai penyiasat yang disyaki telah ditahan, cabaran besar bagi pihak PDRM adalah untuk memastikan kepercayaan awam terhadap institusi PDRM dapat dikembalikan sebagai badan penguatkuasa undang-undang utama yang diamanahkan sebagai peneraju keselamatan bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Ini termasuk dengan memberi jaminan tegas bahawa insiden jenayah seumpamanya tidak mungkin lagi akan berlaku pada masa yang akan datang selain mengambil tindakan yang lebih keras dan tegas terhadap mana mana anggota dan pegawai yang didapati secara jelas melanggari etika dan undang-undang.

Insiden ini juga menuntut pihak berkuasa untuk meneliti keperluan bagi menyemak semula tatacara pengendalian proses siasatan yang lebih telus dan selamat antaranya dengan mempertimbangkan keperluan untuk menggunakan video kamera ketika proses siasatan dijalankan bagi tujuan pengawasan atau mewajibkan proses mengambil keterangan bagi keskes seumpama ini dilaksanakan di dalam ruang atau bilik siasatan yang dilengkapi dengan kamera litar tertutup. 

Komitmen semua pihak dalam usaha melaksanakan reformasi institusi adalah ditagih bagi memastikan kepercayaan masyarakat awam terhadap integriti institusi badan penguatkuasa dapat diperkukuhkan bagi maksud memelihara undang-undang dan mengekalkan keamanan dalam negara ini. – 3 Januari, 2023.

* Kamal Munim merupakan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen