Tindakan tegas terhadap penjawat awam terlibat jenayah, dadah


Tindakan tidak hanya untuk PDRM malah terpakai untuk penjawat awam dari mana-mana agensi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2022.

KERAJAAN tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang melakukan kesalahan jenayah termasuk dalam penyalahgunaan dadah.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata hukuman yang dikenakan termaktub dalam bidang perundangan negara serta bergantung kepada jenis-jenis kesalahan yang dilakukan mereka.

“Kita akan ambil tindakan kepada semua penjawat awam sama ada mereka bekerja dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mereka yang berkhidmat dengan agensi di peringkat negeri atau Persekutuan.

“Kalau mereka didapati bersalah mengedar dadah, hukumannya sudah tentu amat berat manakala mereka yang didapati bersalah dalam penyalahgunaan dadah, kita akan minta mereka ini dipulihkan dan pulang ke pangkal jalan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas merasmikan Program Komuniti Bebas Jenayah dan Dadah Bersama Menteri Dalam Negeri di Felda Ijok di Larut, hari ini.

Mengulas mengenai program tersebut katanya ia dilaksanakan bagi menyampaikan mesej pencegahan jenayah dan dadah disamping memberi maklumat kepada orang ramai berhubung usaha dan inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan bagi menangani masalah terbabit.

“Objektif program adalah untuk menyampaikan mesej pencegahan jenayah dan dadah disamping menyediakan perkhidmatan agensi kerajaan khususnya di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk manfaat komuniti setempat. – Bernama, 13 Ogos, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen