TH nasihatkan umat Islam waspada tawaran badal haji


UMAT Islam di negara ini diingatkan agar lebih berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji oleh agensi pelancongan mahu pun individu tertentu, untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata setiap individu dari luar Makkah perlu mendapatkan visa haji untuk melaksanakan ibadat haji yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata penduduk tempatan pula perlu mendapatkan permit kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi untuk tujuan itu.

“TH akan terus mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

“Tawaran badal haji jika sekitar RM1,000 sehingga RM3,500 ke atas itu terlampau murah jika dibandingkan dengan harga asal permit haji yang harganya paling rendah adalah sekitar SR4,000 (RM4,800) dan lain-lain perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi untuk menunaikan ibadat haji,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Syed Saleh menegaskan TH dan anak syarikatnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk promosi, penawaran mahupun penyediaan perkhidmatan badal haji. – Bernama, 20 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen