Dedah laporan RCI Tabung Haji, kata bekas CEO


Suruhanjaya Siasatan Diraja itu dibentuk untuk menyiasat pengurusan dan operasi Tabung Haji antara 2014 hingga 2020 atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2022.

PUTRAJAYA perlu mendedahkan kepada umum laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji untuk menamatkan segala tuduhan yang dilemparkan mengenai pengurusan dana itu, kata bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan Tabung Haji Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

Laporan itu sepatutnya sudah dimuktamadkan Julai lepas dan sekarang sudah pun Disember, katanya dalam wawancara dengan portal Ekonomi Rakyat.

“Kalau ikut perancangan, RCI ini sepatutnya sudah dimuktamadkan pada bulan Julai tahun ini lagi. Sekarang kita sudah bulan Disember.

“Jadi bagi saya, sekiranya perlu, kerajaan boleh membuat keputusan sama ada mahu berkongsi dengan rakyat tentang apakah hasil daripada RCI itu.

“Saya sebenarnya pun tak tahu apa sebenarnya kedudukan RCI itu. Tapi disebabkan banyak pihak telah membuat pelbagai dakwaan, mungkin jalan keluarnya ialah dengan menzahirkan apakah penemuan RCI ini,” katanya seperti dipetik Ekonomi Rakyat.

Nik Mohd Hasyudeen merujuk kenyataan bekas menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada April lalu yang menyebut laporan akhir RCI berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji dijangka selesai Julai 2022.

Wan Junaidi juga ketika itu memaklumkan RCI Tabung Haji sudah bersidang tiga kali sejak penubuhannya pada 21 Januari 2022 dan mendengar keterangan 43 saksi.

Ia dibentuk untuk menyiasat pengurusan dan operasi Tabung Haji antara 2014 hingga 2020, atas perkenan Yang di-Pertuan Agong pada Oktober 2021.

Siasatan suruhanjaya itu bagaimanapun tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji yang sedang dilaksanakan sekarang.

RCI itu dipengerusikan bekas ketua hakim negara Mohamed Raus Sharif yang mengetuai panel enam anggota.

Selepas memberi taklimat kepada Jemaah Menteri pada 14 Disember lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan RCI Tabung Haji akan menyambung siasatannya bulan depan.

Penubuhan RCI itu didesak oleh banyak pihak terutamanya Umno ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mendedahkan salah pengurusan dan pelbagai dakwaan penyelewengan melibatkan kewangan dan aset Tabung Haji.

Pada Disember 2018, pentadbiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad melaksanakan penstrukturan semula aset, kewangan dan pengurusan Tabung Haji selepas terbongkar bahawa ia tidak dikendalikan dengan cekap oleh pengurusan lamanya.

Antara lain, semakan audit mendapati pengurusan syarikat sebelum ini tetap membayar hibah atau dividen – dan mengekalkannya pada kadar yang tinggi – ketika tanggungannya lebih tinggi daripada aset dan melanggar Akta Tabung Haji 1995. – 26 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen