Jangan cetus isu 3R, kata KPN


Kalidevi Mogan Kumarappa

KPN Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyentuh isu 3R (bangsa, agama dan raja) melalui media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2023.

POLIS memberi amaran kepada mana-mana individu yang cuba mencetuskan isu membabitkan 3R (bangsa, agama dan raja) di negara ini melalui media sosial.

Ketua Polis Negara (KPN) Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyentuh isu 3R itu.

Katanya, tindakan dan siasatan akan dijalankan Pasukan Siasatan Khas 3R yang diwujudkan sejak 20 Mac lalu.

“PDRM memandang serius berkaitan 3R khususnya yang tular di media sosial ini untuk memastikan bahawa hantaran yang dibuat khususnya isu berkaitan raja, agama, dan perkauman perlu dihindari.

“Ini untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terpelihara dan kesejahteraan negara kita terjamin,” katanya selepas Majlis Hi-Tea Bersama Media di Bukit Aman.

Beliau berkata siasatan kes membabitkan 3R dilakukan dengan pantas bagi memastikan keharmonian masyarakat di negara ini terpelihara.

Sejak pasukan khas itu diwujudkan, sebanyak 18 kertas siasatan dibuka membabitkan kes 3R atau penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja bagi tempoh bermula Mac sehingga bulan ini.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, berkenaan isu kalimah Allah, KPN berkata ia sudah diselesaikan secara baik dan yakin tiada perkara berbangkit.

“Saya percaya isu diselesaikan dengan baik. Saya rasa elok selesai di situ dan tiada isu timbul.

“Kita serahkan kepada pihak kerajaan untuk menyelesaikan perkara ini kerana saya percaya akan ada satu taklimat kepada Majlis Raja-Raja,” katanya.

Beliau diminta mengulas berkenaan terdapat percanggahan tafsiran mengenai kesan keputusan Putrajaya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021, yang membenarkan istilah Allah digunakan dalam konteks bukan Islam.

Pada 10 Mac, 2021 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman oleh Jill Ireland, seorang Kristian Melanau dari Sarawak, yang memohon pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak untuk menggunakan perkataan “Allah” untuk tujuan agama dan pendidikan.

Kerajaan pada mulanya merayu terhadap keputusan itu tetapi memberi notis pada 18 April tahun ini ia tidak akan meneruskan rayuan itu. – 18 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen