Tarik rayuan kalimah Allah bukti toleransi


TINDAKAN Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran tidak sepatutnya menimbulkan keributan.

Jika diteliti keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nor Bee Ariffin dalam kes Jill Ireland bt Lawrence Bill v Menteri bagi KDN Malaysia & Anor pada 10 Mac 2021 hanya menyentuh soal Undang-Undang Pentadbiran (Administrative Law) dan Penjalanan kuasa pentadbiran (Exercise of administrative powers).

Isunya mudah, seorang warganegara Malaysia dan Bumiputra beragama Kristian dari suku Melanau, Sarawak, bernama Jill Ireland dirampas lapan cakera padat audio (CD) pendidikan Kristian bawah seksyen 102 Akta Kastam 1967 dan Seksyen 9 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana lapan CD tersebut mempunyai kalimah “Allah” pada tajuknya.

Tajuk lapan CD tersebut adalah (1) Cara Menggunakan Kunci Kerajaan Allah; (2) Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah; (3) Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah; (4) Metode Pemuridan Kerajaan Allah; (5) Pribadi Yang Bertumbuh Dalam Kerajaan Allah; (6) Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah; (7) Pemerintahan Kerajaan Allah Dalam Hidup Kita; dan (8) Rahasia Kerajaan Allah.

Jill Ireland mendakwa lapan CD tersebut adalah untuk kegunaan peribadinya kerana selama ini beliau dan keluarganya menggunakan Bahasa Malaysia dan AlKitab (terjemahan bahasa Indonesia di mana perkataan “Allah” digunakan) dan bahan bertulis dan audio-visual dalam Bahasa Indonesia dalam amalan kepercayaan Kristian mereka.

Penyitaan dan rampasan lapan CD tersebut dilakukan berdasarkan arahan KDN pada 5 Disember 1986 yang mengatakan kerajaan memutuskan tidak membenarkan penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” dalam penerbitan untuk melindungi ketenteraman awam dan mencegah kekeliruan dan salah faham antara orang Islam dan Kristian.

Setelah melalui perbicaraan awal, Mahkamah Tinggi hanya membenarkan perintah certiorari dan mandamus dan menolak kesemua permohonan lain dengan alasan larangan penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan Kristian tidak dapat dicabar secara kolateral dalam prosiding semakan kehakiman tetapi hanya dengan mencabar secara spesifik undang-undang yang mengenakan larangan tersebut.

Setelah dirayu oleh Jill Ireland, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan tersebut tetapi mengembalikan permohonan semakan kehakiman semula ke Mahkamah Tinggi agar permohonan (c) dan (d) dapat didengar kerana permohonan tersebut tidak berkaitan dengan penggunaan kalimah “Allah” tetapi terhadap dakwaan pelanggaran hak perlembagaan pemohon.

Secara spesifiknya, permohonan (c) dan (d) ini adalah: (i) bahawa menurut perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, pemohon berhak mengimport lapan CD tersebut semasa menjalankan hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dan haknya untuk mendapat pendidikan; dan (ii) bahawa menurut perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, pemohon harus dilayan secara sama rata seperti semua orang lain tanpa didiskriminasi atas dasar agamanya dalam pentadbiran undang-undang, khususnya, Akta Kastam dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Setelah kes ini dibawa kepada beliau, Hakim Nor Bee memutuskan arahan KDN pada 5 Disember 1986 bertentangan dengan undang-undang, menyalahi undang-undang dan terbatal kerana ia bertentangan dengan Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penerbitan) (No 4) tahun 1982 (’ Perintah 1982’) yang secara jelas tidak melarang pemilikan atau penggunaan AlKitab (di mana perkataan “Allah” digunakan) di gereja Kristian di seluruh negara.

Jelas hakim, KDN dan kerajaan Malaysia juga tidak menunjukkan bukti yang mencukupi, boleh dipercayai dan berwibawa mengenai kekeliruan atau salah faham atau gangguan atau kemungkinan gangguan terhadap ketenteraman awam yang telah terjadi atau boleh berlaku sekiranya kalimah “Allah” digunakan oleh masyarakat Islam dan Kristian.

Tambah beliau lagi, komuniti Kristian di Sabah dan Sarawak juga menggunakan kalimah “Allah” dalam Bahasa Malaysia untuk perkataan Tuhan selama beberapa generasi dalam anutan dan amalan kepercayaan Kristian mereka dan tidak ada keterangan di hadapan mahkamah yang amalan tersebut menyebabkan masalah kekacauan awam selama bertahun-tahun.

Arahan KDN pada 5 Disember 1986 tersebut juga tidak konsisten dengan keputusan polisi Kabinet yang tercatat di dalam memo perdana menteri bertarikh 19 Mei 1986 dan memo timbalan perdana menteri bertarikh 16 Mei 1986 yang tidak mengenakan larangan menyeluruh pada kalimah “Allah”, “Kaabah”, “Baitullah” dan “solat” sedangkan arahan KDN tersebut mengenakannya.

Oleh itu, terang lagi bersuluh yang keputusan Hakim Nor Bee hanya menyentuh soal Undang-Undang Pentadbiran dan Penjalanan kuasa pentadbiran.

Mantan perdana menteri sewaktu kes ini diputuskan yang kini Pengerusi PN, Muhyiddin Mohd Yassin, dalam kenyataan media beliau menyatakan kesal beliau dengan keputusan kerajaan perpaduan menarik balik rayuan dalam kes yang dikatakan melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam ini.

Mengikut Muhyiddin, antara hujah utama KDN yang diketuai oleh beliau untuk menolak cadangan penyelesaian kes Jill Ireland di luar mahkamah ialah penyebaran risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah “Allah” yang didakwa boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan ini berkemungkinan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Muhyiddin juga berkata rayuan tidak perlu ditarik balik, kerana sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai, maka wajarlah bagi pihak kerajaan meminda undang-undang berkenaan.

Bagaimanapun, hujah Muhyiddin ini terlalu rapuh.

Kes Jill Ireland ini akan mengambil masa yang lebih panjang, mungkin bertahun-tahun, untuk diselesaikan sehingga ia selesai sepenuhnya di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Disebabkan keputusan kes ini hanya menyentuh soal undang-undang pentadbiran dan penjalanan kuasa pentadbiran, maka cara terbaik dan terpantas untuk menyelesaikannya adalah melalui perubahan pada undang-undang pentadbiran dan penjalanan kuasa pentadbiran.

Oleh itu, pengumuman KDN ia sedang mengambil langkah mengkaji dan mengemaskini satu arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “solat”, dan “Kaabah” agar selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia adalah langkah terbaik.

Ia membuktikan kerajaan perpaduan, tidak seperti kerajaan sebelumnya, mempunyai iltizam politik (political will) yang kuat untuk menyelesaikan setuntasnya masalah ini dengan tidak perlu menunggu sehingga selepas proses rayuan selesai barulah pihak kerajaan mahu meminda arahan atau undang-undang berkenaan kerana ini hanya akan membazir masa.

Masa sama, jaminan KDN ia akan memastikan kebebasan beragama tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau kemoralan serta kebebasan beragama masih tertakluk kepada undang-undang persekutuan/negeri yang boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam, akan memastikan kegusaran dalam kalangan umat Islam tidak akan berlaku.

Inilah Malaysia Madani yang sebenarnya, Malaysia yang bertoleransi dan saling menghormati. – 18 Mei, 2023.

* Dr Rusdi Omar adalah Profesor di School of International Studies (SoIS) dan Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen