Selangor kekal larang bukan Islam guna kalimah Allah, kata MB


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan terus menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 23 Mac 2021 yang melarang bukan Islam di negeri itu mengguna kalimah Allah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei 2023.

LARANGAN bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” terus kekal di Selangor, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain bagi tujuan pembelajaran tidak akan menjejaskan pendirian kerajaan negeri.

Amirudin dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan negeri akan terus menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang dizahirkan pada 23 Mac 2021 untuk menjaga kemuliaan dan kesucian agama Islam termasuk larangan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama bukan Islam di negeri itu.

“Titah Tuanku sebagai ketua agama Islam Negeri Selangor bahawa penggunaan kalimah Allah di negeri Selangor oleh penganut agama bukan Islam adalah dilarang.

“Ini adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014, serta fatwa diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 berkaitan dengan perkara yang sama,” katanya.

Kelmarin, KDN dan kerajaan dilapor menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021, selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman wanita Kristian dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill. 

Notis pemberhentian rayuan itu difailkan pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya. KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos, menurut notis tersebut.

Pada 10 Mac 2021, Hakim Nor Bee Ariffin memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran namun tertakluk pada syarat-syarat tertentu.

Dalam keputusannya, Hakim Nor Bee berkata arahan KDN pada 5 Disember 1986 bahawa larangan penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat” dan “Kaabah” ke atas orang bukan Islam menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

Keputusan kerajaan menarik balik rayuan menerima dikecam pertubuhan Islam dan Melayu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata masyarakat bukan Islam tetap dilarang menggunakan kalimah Allah walaupun rayuan terhadap kes Jill Ireland ditarik balik. – 17 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen