Buktikan keputusan kalimah Allah hanya untuk Sarawak, kata peguam


Kalidevi Mogan Kumarappa

Sidang media NGO Islam berhubung isu Kalimah Allah di Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Kuala Lumpur petang tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Mei, 2023.

PUTRAJAYA perlu membuktikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 2021 berkenaan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan bahasa Arab bagi penerbitan bahan agama lain hanya terpakai di Sarawak dan bukannya di negeri lain di Semenanjung Malaysia, kata gabungan badan Melayu dan Islam.

Hakim Nor Bee Ariffin dalam kes Jill Ireland Lawrence Bill memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran namun tertakluk pada syarat-syarat tertentu.

Selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘solat’.

Timbalan Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Hisham Marzuki berkata keputusan mahkamah itu, yang jadi titik perhatian minggu ini, tidak menyatakan secara khusus ia terhad kepada penggunaan di Sarawak.

“Kalau dikatakan ia terpakai di Sabah dan Sarawak, kena tunjukkan di seksyen mana dalam keputusan hakim yang dinyatakan sebegitu. 

“Kedua, perlu juga tunjukkan akta mana yang digunakan dalam kehakiman, mana yang kata ia terpakai di Sabah dan Sarawak sahaja dan tak terpakai untuk Malaysia Barat?

“Ikutkan pembacaan saya, tidak dinyatakan secara khusus ia hanya terpakai di Malaysia Timur… jika ada, mohon jelaskan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, petang tadi.

Sidang media berkenaan disertai wakil 11 badan masyarakat lain antaranya Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Majlis Perunding Melayu (MPM). 

Hisham yang juga peguam syarie mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mendakwa keputusan mahkamah itu hanya khusus untuk negeri Sarawak.

Anwar membuat kenyataan itu sebagai mengulas keputusan Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hisham mempersoalkan sekiranya kes itu hanya terpakai di Sarawak, kenapa kesnya tidak difailkan di Sarawak sebaliknya dikemukakan di Kuala Lumpur.

“Kena tengok sejarah kes ini, ia bermula pada 2008, difailkan di mahkamah di Kuala Lumpur. Ia kemudiannya diminta dibicarakan semula pada 2021, susulan timbul beberapa isu. 

“Jadi kalau benar penerbitan terpakai di Sarawak, kenapa ia tak difailkan di mahkamah Sarawak? Ya, walaupun sesetengah undang-undang di Sabah dan Sarawak berbeza, ada yang terpakai di Malaysia Barat. 

“Dalam keputusan hakim pun tak ada dikatakan ini terpakai di Sabah, Sarawak. Apa yang kita faham ia terpakai di seluruh negara,” tambahnya. 

Hisham berharap isu kalimah Allah ini diselesaikan di Parlimen yang boleh menetapkan kedudukannya dari segi perundangan.

Beliau juga berharap pemimpin kerajaan mempunyai iltizam politik untuk mencari jalan terbaik. 

“Kami merasakan perkara ini perlu diteliti semula, perlu digunakan mekanisme bersesuaian untuk naratif ini supaya tak ada isu berkaitan keharmonian antara agama dan kaum, khususnya pemakaian konsep terma yang dinyatakan di Malaysia Timur dan Malaysia Barat,” katanya. 

Dalam pada itu, Persatuan Peguam Muslim Malaysia akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan dengan lebih terperinci keputusan mahkamah itu yang didakwa melanggar Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan. 

Semasa mengemukakan rayuan, pihak Peguam Negara menyebut hakim bicara tersilap dalam penghakimannya kerana isu yang diputuskan bukan isu yang dibangkitkan ketika kes berkenaan dikembalikan untuk bicara oleh Mahkamah Rayuan pada 2015.

Katanya, keputusan hakim berkenaan bukan perintah yang dipohon oleh peguam bagi pihak pemohon dalam semakan kehakimannya.

Ireland, penganut Kristian etnik Melanau, memfailkan semakan kehakiman pada 2008 mendakwa haknya mengikut Perlembagaan Persekutuan telah dicabul.

Pada 2008, pegawai kastam di KLIA2 merampas cakera padat bertajuk “Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah”, “Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah” and “Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah” daripadanya. 

Ireland berkata beliau membawa cakera padat itu masuk ke Malaysia untuk kegunaan peribadi.

Beliau mengemukakan semakan kehakiman menuntut kembali cakera padatnya yang dirampas.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi mengarahkan Kementerian Dalam Negeri memulakan cakera padat itu tetapi tidak menyentuh persoalan perlembagaan.

Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan kedua-dua belah pihak kemudian mengarahkan isu hak Ireland mengikut Perlembagaan Persekutuan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. – 16 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen