Keputusan berkaitan kalimah Allah hanya khusus bagi Sarawak, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan penggunaan kalimah Allah adalah khusus untuk negeri Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2023.

KEPUTUSAN kes penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran adalah khusus untuk negeri Sarawak, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kalah dalam kes itu sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

“Ini khusus dalam kes Sarawak…ia tidak terpakai seperti di Melaka atau Pulau Pinang atau Selangor…itu kena faham,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani Masyarakat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat Tangga Batu di Tanjung Minyak di Melaka hari ini. 

Semalam KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan itu yang difailkan pada 18 April lepas menyatakan kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.

Pada 10 Mac 2021 Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland Lawrence Bill, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian. – Bernama, 16 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen