PENGERUSI DAP Lim Guan Eng mempersoalkan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3.0 peratus baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan Lim berkata jika BNM bimbang tentang inflasi utama dan teras ia sepatutnya menaikkan OPR pada Januari dan Mac 2023 apabila inflasi bagi suku akhir 2022 lebih tinggi.
“Ini menyebabkan sedikit kekeliruan kerana inflasi teras sebenarnya menyederhana kepada 3.9 peratus pada suku pertama 2023 (diumumkan pada April tahun ini), berbanding suku akhir pada 2022 sebanyak 4.2 peratus (diumumkan pada Januari tahun ini) .
“Jika inflasi teras menjadi kebimbangan besar, mengapa terdapat dua jeda kadar faedah tanpa kenaikan OPR oleh BNM pada Januari dan Mac 2023, walaupun inflasi teras lebih tinggi pada 4.2 peratus pada suku akhir 2022 berbanding 3.9 peratus pada suku pertama 2023?
“BNM sepatutnya segera menaikkan OPR pada Januari dan Mac 2023 apabila inflasi bagi suku akhir 2022 lebih tinggi dan tidak menunggu sehingga sekarang,” katanya.
Pada Jumaat Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus menyokong kenaikan OPR berkata ia adalah tindak balas berhemat terhadap keadaan ekonomi semasa dan juga menafikan kenaikan itu membawa kepada peningkatan kebankrapan.
Lim menegaskan kenaikan mendadak OPR menyebabkan masalah kewangan yang tidak perlu kepada peminjam khususnya individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Walaupun BNM tidak menaikkan OPR pada Januari dan Mac tahun ini, kedua-dua inflasi utama dan inflasi teras masing-masing berjaya menurun kepada 3.4% dan 3.8% pada Mac 2023,” katanya.
“Ini mempersoalkan rasional BNM menaikkan OPR secara mengejut pada 3 Mei dengan ketiadaan bukti inflasi yang meningkat semula tetapi sebaliknya menyebabkan kesulitan kewangan yang tidak perlu kepada peminjam khususnya individu dan PKS,” kata bekas menteri kewangan itu. – 12 Mei, 2023.
Komen