Gabenor BNM nafi kenaikan OPR sebabkan peningkatan kebankrapan


BNM menafikan kenaikan OPR menyebabkan peningkatan kebankrapan, hakikatnya secara agregat isi rumah terus memegang aset kewangan melebihi hutang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2023.

GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus menafikan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) menyebabkan peningkatan kebankrapan.

Beliau berkata tiada angka yang menyokong dakwaan sedemikian, sambil menambah, malahan hakikatnya, secara agregat, isi rumah terus memegang aset kewangan melebihi hutang yang membolehkan mereka mengurus kos pinjaman lebih tinggi.

“Saya ingin menegaskan adalah tidak benar kenaikan OPR menyebabkan peningkatan kebankrapan.

“Namun kami akui terdapat beberapa segmen dan sektor yang memerlukan bantuan berikutan keadaan mereka, dan bantuan masih tersedia untuk mereka yang memerlukan.

“Dengan semua keadaan ini, adalah amat perlu, wajar dan tepat pada masanya dasar monetari diselaraskan semula bagi memastikan kita terus berada di landasan pertumbuhan yang mampan,” katanya selepas mengumumkan Prestasi Ekonomi suku pertama (S1) 2023 di Sasana Kijang hari ini.

BNM pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetarinya (MPC) pada 3 Mei, 2023 menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3%. Sehubungan itu, kadar siling dan lantai koridor OPR dinaikkan masing-masing kepada 3.25% dan 2.75%.

Nor Shamsiah menjelaskan keputusan untuk menaikkan OPR dibuat kerana ekonomi negara terus mengukuh dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) melepasi paras prapandemik, kadar pengangguran menurun dan isi rumah kekal berdaya tahan.

Beliau berkata susulan prospek pertumbuhan dalam negeri yang kukuh, MPC menilai ia adalah masa yang sesuai untuk menormalkan lagi tahap penyesuaian monetari.

Dengan keputusan ini, MPC menarik balik rangsangan monetari yang bertujuan untuk menangani krisis Covid-19 bagi meningkatkan pemulihan ekonomi.

“Pada tahap OPR pada 3% ketika ini, pendirian dasar monetari sedikit akomodatif dan kekal menyokong ekonomi,” katanya.

Beliau juga menekankan walaupun inflasi telah menyederhana, pengembangan ekonomi Malaysia yang lebih besar dan permintaan domestik yang kukuh, terus memberi tekanan terhadap harga, yang menyebabkan inflasi kekal tinggi, yang mana juga telah menjadi trend di banyak negara.

“Dalam sesetengah kes, dasar monetari lambat bertindak balas, menyebabkan kadar faedah dasar perlu dinaikkan dengan lebih cepat dan agresif.

“Kita pastinya tidak mahu berada dalam situasi itu. Kita perlu berhemat.

“Kita juga mahu mengelak situasi mengekalkan kadar faedah terlalu rendah bagi tempoh terlalu lama, terutamanya ketika pertumbuhan ekonomi mengukuh kerana ini boleh menyebabkan inflasi yang lebih tinggi pada masa hadapan dan juga (terdapat) risiko ketidakseimbangan kewangan,” kata Nor Shamsiah.

Menurutnya, matlamat utama dasar monetari adalah untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam tempoh jangka panjang.

Beliau juga membetulkan tanggapan salah bank pusat mahukan pertumbuhan ekonomi menjadi lebih perlahan.

Menegaskan tanggapan ini tidak benar, beliau berkata keputusan (menaikkan kadar faedah) akan membantu memastikan negara terus berkembang secara mampan.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata, pasaran kewangan domestik kekal dalam keadaan teratur walaupun terdapat kebimbangan pengeluaran ekonomi global akan menyederhana.

Khususnya, tekanan sektor perbankan di ekonomi maju utama menyebabkan penurunan hasil bon global menghala ke penghunung akhir suku pertama (S1) di tengah-tengah jangkaan pelonggaran dasar monetari di Amerika Syarikat.

Beliau berkata, walaupun terdapat ketidaktentuan luaran, prospek pelabur bagi pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, secara amnya masih kekal kukuh.

Hasil bon kerajaan domestik Malaysia merosot pada suku tersebut sejajar dengan prestasi hasil bon global. Berikutan ketidaktentuan yang berpanjangan, kebanyakan pasaran ekuiti serantau termasuk FBM KLCI juga merosot dalam tempoh yang sama. – Bernama, 12 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen