Putrajaya ada rekod guna khidmat perunding asing, kata pemerhati


Kamles Kumar

PUTRAJAYA ada kecenderungan menggunakan khidmat firma komunikasi strategik yang dibayar tinggi untuk melonjakkan imejnya dan memperlekehkan pembangkang, kata pemerhati politik.

Mereka merujuk kepada dua firma kontorversi, FBC Media (UK) dan Apco yang diupah oleh pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.

Pengarah Eksekutif Penang Institute, Dr Ooi Kee Beng berkata penggunaan firma “mahal” seperti itu bertujuan menguatkan cengkaman kuasa kerajaan.

“Penyandang ada banyak cara yang boleh digunakan untuk mewujudkan suasana yang memihak kepadanya dan penggunaan perunding antarabangsa yang mahal akan menambah lagi kelebihan mereka.

“Mengambil kesempatan daripada budaya demokrasi Malaysia yang lemah untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya tidak dapat dan tidak seharusnya diterima oleh rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas laporan yang Cambridge Analytica digunakan oleh pemerintah untuk mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Kedah.

Ooi menjangkakan Putrajaya akan terjejas teruk apabila isu ini terbongkar.

“Rakyat Malaysia sudah sedia marah dengan sekian banyak skandal. Pasti akan ada kesannya.”

Putrajaya pernah menggunakan khidmat firma media strategik untuk meningkatkan imejnya dengan hanya segelintir kecil dalam kerajaan yang tahu mengenainya.

Ia mencetuskan kontroversi apabila membayar FBC Media (UK) sebanyak RM28.35 juta – hampir £6 juta – untuk “Kempen Komunikasi Strategik Global” pada 2009.

Sejumlah RM29.34 juta turut diperuntukkan untuk syarikat itu pada tahun sebelumnya.

Putrajaya juga menggunakan khidmat firma perhubungan awam antarabangsa Apco Worldwide untuk mengendalikan isu-isu politik dan pengurusan krisis dan dipercayai dibayar RM77 juta untuk khidmatnya itu.

Bekas ketua Apco Malaysia, Paul Stadlen diuar-uarkan menguruskan operasi media untuk Najib sejak 2013.

Menurut laman sesawang Sarawak Report, firma Stadlen itu diupah oleh Pejabat Perdana Menteri sekurang-kurangnya RM3 juta setahun.

Khidmat Stadlen juga digunakan oleh 1Malaysian Development Berhad (1MDB) yang membayarnya sebanyak RM1.5 juta setahun.

Najib bagaimanapun enggan mengulas mengenai kedudukan Stadlen sebaliknya hanya berkata beliau memiliki status pemastautin tetap Malaysia dan berpejabat di negara ini.

Ahli jawatankuasa badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0, Jay Jay Denis berkata penggunaan khidmat firma seperti itu mengancam demokrasi di Malaysia.

“Pentadbiran Najib sering memomokkan pengaruh anasir asing. Tetapi semasa pilihan raya, Umno tidak berlaku adil apabila menggunakan syarikat yang megah menipu, mengintip dan menggunakan berita palsu untuk menipu pilihan raya.

“Ini serangan luar biasa ke atas proses demokrasi kita,” katanya.

Jay Jay juga membanding Najib dengan Presiden Amerika Syarikat Donald trump yang juga menggunakan khidmat firma seperti CA untuk kempennya.

“Donald Trump melakukannya, dan sekarang Najib juga dikaitkan dengan firma yang sama. Apa bezanya Najib dengan Trump?” tanya beliau.

Di laman sesawangnya, CA mengatakan ia membantu BN di Kedah pada PRU13 dengan kempen bersasaran yang menonjolkan peningkatan sekolah sejak 2008. Kempen itu membantu BN merampas Kedah daripada Pakatan Rakyat.

Jabatan Perdana Menteri bagaimanapun dalam kenyataannya berkata CA atau syarikat induknya, SCL Group tidak pernah berurusan dengan Barisan Nasional (BN) atau kerajaan Malaysia, sebaliknya berurusan langsung dengan Mukhriz Mahathir, yang kini pemimpin Pakatan Harapan, semasa PRU 2013.

Mukhriz yang menjadi menteri besar Kedah selepas pilihan raya umum itu bagaimanapun berkata dakwaan JPM itu bertujuan mengalih perhatian orang ramai yang BN sebelum ini sebenarnya menggunakan perkhidmatan CA.

Mukhriz semalam berkata beliau tidak tahu menahu mengenai pembabitan CA dalam kempen BN di Kedah semasa PRU 2013 dan mendakwa ia mungkin diupah oleh pimpinan parti di peringkat pusat.Ketua SCL Asia Tenggara

, Azrin Zizal pernah berkhidmat sebagai pegawai media Mukhriz antara 2009 hingga 2013 semasa beliau menjadi timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

The Malaysian Insight cuba menghubungi Azrin dan masih menunggu maklum balas. – 21 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen