Khaled minta UiTM ambil tindakan susulan isu kebocoran data


Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata UiTM diminta mengambil tindakan susulan isu kebocoran data bagi memastikan perkara itu tidak berulang lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2023.

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) diminta mengambil tindakan susulan dalam mengatasi isu kebocoran data pemohon universiti itu seperti yang berlaku baru-baru ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata ia bagi memastikan perkara sedemikian tidak lagi berulang pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, media melaporkan UiTM menerusi akaun Twitter rasmi  @uitmofficial memohon maaf atas kesilapan hingga berlaku kebocoran data melibatkan 11,891 pemohon universiti itu serta memaklumkan pautan kepada senarai data tersebut tidak lagi aktif dan kemas kini dilakukan. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) Prof Dr Mohd Nazri Kama dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menghubungi UiTM bagi mendapatkan maklum balas dan status pemilikan data yang terlibat.

“Kami juga bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden yang berlaku bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang pelanggaran di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

“JPDP memandang serius insiden ketirisan data peribadi lebih 11,000 orang pemohon UiTM seperti yang dilaporkan oleh seorang pengguna Twitter melalui ciapannya pada Selasa, 9 Mei 2023 lepas,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pengguna data mematuhi prinsip, peraturan dan standard perlindungan data peribadi di bawah Akta 709.

Katanya pengguna data juga diingatkan supaya lebih teliti dan berhati-hati ketika memproses data peribadi bagi mengelak berlakunya insiden ketirisan data akibat kecuaian. – Bernama, 11 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen