AHLI Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff menangkis dakwaan beliau mencuri air dari pili bomba untuk diagihkan kepada penduduk yang keputusan bekalan.
Jelasnya, pengambilan air dari saluran berkenaan dibuat dengan pengetahuan syarikat pengurusan bekalan tersebut, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta pasukan bomba.
Beliau memberitahu Harakahdaily, AKSB sendiri mencadangkan bekalan diambil dari pili bomba kerana langkah itu tidak menjejaskan keperluan air sewaktu kecemasan.
“Tiada istilah curi air memandangkan apa yang dilakukan dalam pengetahuan (AKSB) serta pihak bomba.
“Air daripada pili bomba tidak mungkin kering kerana ia sentiasa ditambah secara automatik apabila berlaku pengurangan bekalan air,” katanya seperti dipetik lidah parti PAS itu.
Tambahnya, pasukan bomba turut membantu menunjukkan cara membuka pili bagi mendapatkan air daripada saluran kecemasan itu untuk dibekalkan kepada penduduk yang terjejas.
“Penggunaan saluran paip di Kelantan adalah secara guna sama antara agensi AKSB dan Bomba, dan perkara itu sudah sedia maklum oleh semua pihak.
“Apa yang dilakukan itu untuk memudahkan orang ramai yang mengalami masalah bekalan air terutamanya di musim kemarau sekarang,” ujarnya.
Tambahnya, banyak jajahan lain di Kelantan turut mengalami masalah bekalan air sewaktu musim kemarau yang melanda pada waktu ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas siasatan yang diumumkan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berhubung tindakan itu.
Nga semalam dilaporkan berkata, tindakan mengambil air dari pili bomba satu tindakan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Sumber air dari pili bomba digunakan bagi memadam kebakaran bukan digunakan sebagai bekalan air untuk kegunaan seharian.
“Jika semua orang pakai air pili bomba, jika berlaku kebakaran macam mana? Ini sebenarnya tidak patut berlaku,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Masalah bekalan air sering meruncing sewaktu musim kemarau di negeri itu.
Pada tahun lalu enam rumah musnah terbakar di ambang Aidilfitri apabila gagal diselamatkan ekoran ketiadaan bekalan air.
Bomba dilaporkan terpaksa membawa air dengan lori tangki ke lokasi kejadian di kawasan padat penduduk di Berek 12, Kota Bharu.
Kejadian itu itu dilaporkan berlaku ketika kawasan tersebut tidak menerima bekalan air lebih 10 hari. – 8 Mei 2023.
Komen