KPKT siasat dakwaan ahli Parlimen PAS guna pili bomba atasi isu bekalan air


Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff didakwa menggunakan pam penyedut bagi mengambil air dari pili bomba untuk mengagihkan bekalan air kepada penduduk setempat berikutan beberapa kawasan di Parlimen itu menghadapi masalah bekalan air. – Gambar Facebook, 7 Mei 2023.

AHLI Parlimen Rantau Ranjang Siti Zailah Mohd Yusoff disiasat atas dakwaan mengambil air daripada pili bomba bagi kegunaan penduduk kawasannya.

Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata tindakan undang-undang boleh diambil terhadap ahli Parlimen tersebut atas perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Sumber air dari pili bomba digunakan bagi memadam kebakaran bukan digunakan sebagai bekalan air untuk kegunaan seharian.

“Jika semua orang pakai air pili bomba, jika berlaku kebakaran macam mana? Ini sebenarnya tidak patut berlaku,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Siasatan itu dibuat selepas Siti Zailah menyiarkan gambar menunjukkan beliau bersama satu pasukan petugas menyalurkan air dari pili bomba ke lori tangki untuk diagih kepada penduduk.

Gambar yang dikesan disiarkan di Facebook itu disyaki untuk mempromosi keberkesanan beliau sebagai wakil rakyat dalam menangani masalah bekalan air yang meruncing di Kelantan.

“Ya Allah permudahkan segala urusan kami. Di musim banjir kami berdepan dengan cabaran banjir, sekarang pula berdepan dengan cabaran kemarau,” katanya dalam tulisan bersama gambar terbabit.

Sewaktu musim kemarau pada tahun lalu, enam rumah musnah terbakar di ambang Aidilfitri di Kota Bharu apabila gagal diselamatkan ekoran ketiadaan bekalan air.

Bomba dilaporkan terpaksa membawa air dengan lori tangki ke lokasi kejadian di kawasan padat penduduk di Berek 12 di ibu negeri itu.

Kejadian itu dilaporkan berlaku ketika kawasan tersebut tidak menerima bekalan air lebih 10 hari. – 7 Mei 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen