SESI libat urus bersama Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura sudah pun dimulakan sejak 2015 dalam perkongsian bidang perumahan dan pengurusan sisa pepejal, kata Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini membidas tuduhan sesetengah pihak berkepentingan politik yang mendakwa perkongsian pakar perumahan Singapura itu dibuat untuk mengisi kelemahan penjawat awam Malaysia.
Nga berkata tuduhan itu jelas sekali adalah satu tindakan provokasi yang berbaur hasutan.
“Berkongsi kepakaran dan bertukar amalan terbaik dalam sesuatu bidang bukanlah amalan baharu malah telah dimulakan sejak bertahun lamanya dalam sistem kerajaan Malaysia terutamanya bagi mendapatkan khidmat kepakaran dalam bidang tertentu bagi memberikan polisi, perancangan dan program terbaik kepada rakyat.
“Malaysia melalui KPKT turut telah melaksanakan pelbagai kerjasama yang serupa dengan pelbagai negara lain selain Singapura iaitu Australia (meneliti kaedah/mekanisme dan polisi berkaitan pemajuan perumahan swasta dan akta sewaan kediaman) dan India (pemajuan swasta bercampur (mixed development)),” katanya.
Menurut Nga libat urus bersama HDB 2015 lagi, dan diteruskan pada 2018 bagi memahami amalan terbaik dalam perancangan dan penyediaan perumahan terutamanya dalam ‘social housing’ (perumahan sosial).
Tambah beliau, Dasar Perumahan Negara sedia ada yang dibangunkan pada masa ini merupakan hasil kerjasama KPKT bersama pakar perumahan dalam negara seperti Khazanah Research Institute (KRI), Bank Negara Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), para akademik, penganalisis hartanah.
Kenyataan Nga itu mengulas dakwaan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bahawa beliau mempunyai agenda tersembunyi apabila mahu membawa konsep pembangunan perumahan dari Singapura.
Sanusi juga menuduh kononnya KPKT sedang cuba merealisasikan agenda “New Silk Road” yang menjadi dasar kerajaan China.
Ucapan Sanusi dalam satu video yang tersebar di media sosial antara lain mendakwa DAP mahu melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi menguasai kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan.
Mengulas lanjut, Nga berkata tidak salah untuk kerajaan menambah baik dasar sedia ada berdasarkan amalan terbaik supaya polisi yang dirangka lebih komprehensif dan praktikal dilaksanakan mengikut acuan Malaysia.
“Niat untuk menjemput pakar-pakar dari negara luar termasuk Singapura dalam sesi seminar dan bengkel adalah bagi mendapatkan ilmu dan
pengetahuan serta berkongsi kepakaran dalam bidang perumahan agar Malaysia dapat bergerak ke hadapan dan relevan dengan perkembangan semasa,” jelasnya. – 26 Januari 2023.
Komen