PAS sasar Perak dengan pengaruh ke atas pendidikan Islam, kata kajian ISEAS


The Malaysian Insight

Menurut kajian itu, PAS sedang meneroka untuk menguasai Perak dan seterusnya pantai barat Semenanjung Malaysia.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2023.

PAS sedang meneroka untuk menguasai Perak dan seterusnya pantai barat Semenanjung Malaysia selepas kejayaan besarnya pada Pilihan Raya Umum ke-15, didorong faktor pengaruh parti Islam itu dalam sistem pendidikan dan pentadbiran Islam di negeri-negeri, rumus satu kajian ISEAS-Yusof Ishak Institute di Singapura.

Kajian ke atas pendidikan Islam di Perak dibuat oleh felo pelawat Mohd Faizal Musa, yang juga felo penyelidik Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bersama Afra Alatas, pegawai penyelidik di ISEAS.

Kajian mereka meneliti pengaruh PAS dalam mempolitikkan pendidikan Islam, dengan merujuk kedudukan sekolah agama serta pendidikan Islam dari prasekolah sampai ke sekolah menengah, serta pentadbiran di masjid.

“Tidak dinafikan PAS kukuh menguasai negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, namun pengaruh mereka tidak lagi terhad di negeri-negeri itu dan ia telah merebak ke Perak.

“Perak, yang dianggap pintu masuk ke Selangor, negeri paling berharga di Malaysia, adalah sasaran baharu PAS dan sebuah negeri utama yang membantu untuk menyebarkan pengaruhnya ke pantai barat,” kata mereka, dalam kajian yang diterbitkan di laman web ISEAS.

Hasil temu bual dengan guru, pentadbir dan pengamal dalam sektor pendidikan, kajian itu merumuskan sekurang-kurangnya tiga isu yang mempengaruhi idea konservatif dan ekstrem dalam pendidikan Islam di Perak.

Isu itu ialah kurangnya kawal selia ke atas sesetengah sekolah agama, antaranya sekolah tahfiz yang misalnya bebas menggaji guru sesuka hati.

Sekolah tahfiz ini juga mempunyai silibus sendiri yang membuka ruang kepada guru-guru berkenaan menyentuh hal-hal berkaitan propaganda politik dan idea yang melampau.

“Akibatnya, kenyataan mereka mungkin menjejaskan hubungan antara kaum dan agama,” kata kajian itu, memetik keterangan dua sumber mereka.

Mereka juga menyebut penyebaran idea yang bertentangan dengan dasar negara sukar dibendung kerana garis pemisah antara bidang pendidikan dan hal ehwal Islam, yang terletak dalam bidang kuasa persekutuan dan negeri.

“Boleh dibahaskan sama ada pendidikan Islam wajar diletakkan bawah bidang kuasa persekutuan dan tertakluk pada kawal selia dan peraturan lebih luas,” katanya.

Isu sama di sekolah tahfiz juga mereka kesan di pusat asuhan tunas Islam, yang guru dan pentadbirnya ahli PAS, kata mereka.

Pelajar sekolah agama di Perak juga terdedah kepada isu politik dan pilihan raya, misalnya melalui penyebaran kalendar yang memaparkan potret pemimpin PAS dan kegiatan ko-kurikulum pelajar di acara anjuran parti Islam itu.

“Ini cara bagaimana pelajar terdedah kepada propaganda politik atau diasuh untuk menyokong parti politik tertentu,” kata mereka.

Kajian mereka juga mendapati ada pengaruh daripada luar apabila misalnya pendakwah dan ahli politik dari Kedah dijemput ke masjid.

Mereka ini walaupun tidak ditauliahkan untuk berceramah tetapi berpeluang menyebarkan propaganda politik yang condong kepada Perikatan Nasional semasa bergaul dengan jemaah, kata mereka.

Faizal dan Afra turut mengemukakan cadangan supaya kerajaan campur tangan untuk membendung penyebaran propaganda politik Islam dan idea melampau di sekolah agama, melalui peraturan dan piawaian.

Mereka juga mencadangkan Kementerian Pendidikan menimbang idea Sekolah Wawasan oleh Dr Mahathir Mohamad untuk merangkul sekolah agama ke dalam sistem yang lebih besar.

“Kerajaan sekarang boleh menjenamakan semula wawasan ini (mungkin, Sekolah Madani) dan menyatuhkan sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan, serta sekolah agama.

“Ini boleh menggalakkan interaksi antara aliran dan mengelak pengasingan serta prejudis antara kaum dan agama,” kata mereka.

Mereka juga menggesa kerajaan menangani isu kakitangan awam di Kementerian Pendidikan yang partisan pada politik kepartian.

Jika tidak dibendung, ia boleh menyekat reformasi dan pelaksanaan dasar-dasar baharu, kata mereka. – 5 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen