Persatuan bantah cadangan naikkan caruman KWSP majikan


Ravin Palanisamy

UNI-MLC baru-baru ini menggesa kerajaan menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan bagi pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah kepada 20% berbanding 13% ketika ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei 2023.

CADANGAN supaya kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20% berbanding 13% ketika ini akan memberi impak negatif kepada perniagaan dan ekonomi, kata pemain industri.

Mereka berkata cadangan oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) itu akan menambah beban majikan,terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

UNI-MLC baru-baru ini menggesa kerajaan menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan bagi pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah kepada 20% berbanding 13% ketika ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin dilaporkan media sebagai berkata cadangan tersebut akan dibincang di peringkat jemaah menteri. 

Mengulas cadangan UNI-MLC itu, Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong berkata kenaikan caruman KWSP bahagian majikan akan memberi impak negatif kepada perniagaan.

“Cadangan ini akan membebankan PMKS, terutamanya apabila pekerja bergaji sehingga RM4,000 kini berhak menuntut bayaran kerja lebih masa.

“Ini sekali gus akan meningkatkan kos pengeluaran dan operasi. Jadi kami membantah cadangan ini, lebih-lebih lagi kerana banyak PMKS masih dalam proses pulih daripada kesan pandemik Covid-19,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Malah cadangan tersebut juga katanya akan menjejaskan ekonomi negara.

“Kesan negatif akan timbul sekiranya PMKS, yang mempunyai lebih 40% tenaga kerja dalam negara, tidak  mencapai prestasi baik dan berdepan kos tambahan, yang kahirnya akan terus menjejaskan ekonomi negara,” kata Chin. – 3 Mei 2023. 

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen