Kabinet bincang cadangan tambah caruman KWSP majikan, kata PM


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cadangan menambah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan akan dibawa ke Kabinet tidak lama lagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 Mei, 2023.

CADANGAN menambah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan akan dibawa ke Kabinet tidak lama lagi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Katanya cadangan sudah dikemukakan tetapi belum dirujuk ke Kabinet.

“Kita perlu membincangkan perkara itu terlebih dahulu kerana ini melibatkan keputusan dasar dan ini boleh memberi kesan (kepada ekonomi),” kata Anwar kepada media hari ini selepas majlis sambutan Hari Pekerja di Putrajaya.

Sebelum ini Union Network International-Malaysia Labour Centre (Uni-MLC) dilaporkan menggesa kerajaan meningkatkan caruman KWSP majikan kepada 20% daripada 13% semasa bagi mereka yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah.

Presidennya Shafie BP Mammal menyeru Kementerian Sumber Manusia untuk membangunkan dasar buruh baharu yang akan memenuhi keperluan dan cabaran era pasca Covid-19.

Beliau juga menyarankan beberapa langkah lain untuk membantu memastikan kebajikan pekerja di seluruh negara.

Sementara itu Anwar juga berkata kerajaan tidak lama lagi akan mengkaji semula gaji penjawat awam apabila mendakwa kumpulan tertentu masih menerima gaji yang tidak memuaskan.

“Saya tahu gaji penjawat awam di peringkat bawahan dan pertengahan tidak memuaskan. Sudah tiba masanya ia dikaji semula. Saya amat tahu nasib pekerja, ini kawasan saya dan saya faham penderitaan mereka.

“Beri saya setahun. Jika hasil negara meningkat, gaji penjawat awam akan berada di atas senarai.

“Apa sahaja bonus dan faedah perubatan dan pendidikan, kami akan berikan sebaik sahaja ada peruntukan,” katanya. – 1 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen