Penjara 12 tahun, khidmat masyarakat 200 jam untuk Siti Bainun


Kalidevi Mogan Kumarappa

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 Mei, 2023.

MAHKAMAH menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan perintah khidmat masyarakat selama 200 jam ke atas Siti Bainun Ahd Razali yang didapati bersalah mengabai dan menganiaya kanak-kanak.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Siti Bainun untuk pertuduhan pertama atas kesalahan mengabai Bella, seorang kanak-kanak sindrom down.

“Manakala untuk pertuduhan kedua, iaitu kesalahan menganiaya iaitu merujuk kepada penderaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun.

“Hukuman pemenjaraan selama 10 dan 12 tahun dari tarikh sabitan itu akan dijalankan secara serentak,” katanya ketika membacakan hukuman di mahkamah.

Hakim turut memerintahkan tertuduh untuk menandatangani bon berkelakuan baik untuk tempoh 5 tahun dengan seorang penjamin rakyat tempatan dengan cagaran RM5,000

Siti Bainun turut diperintahkan melaksanakan perintah khidmat masyarakat selama 200 jam agregat yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat tempoh pemenjaraan.

Izralizam menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Siti Bainun bersalah bagi kedua-dua tuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Beliau juga berpuas hati keterangan pembelaan tidak dapat dipercayai, tidak boleh diterima dan pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Selepas menimbangkan semua keterangan, saya mendapati pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah ke atas kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

“Saya dengan ini mendapati tertuduh didapati bersalah di atas pertuduhan pertama dan kedua tersebut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” kata Izralizam.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Wanita itu didakwa melakukan demikian di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Siti Bainun hadir ke mahkamah dengan memakai baju kuning dan berseluar hitam ditemani seorang wanita.

Pada 9 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemukakan lapan saksi dengan Siti Bainun sebagai saksi pembelaan pertama.

Turut memberi keterangan, pensyarah psikologi kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai.

Pegawai penemubual Pusat Temuduga Kanak-Kanak Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim dan Nor Aidil Farhab Johaizad juga memberi keterangan.

Siti Bainun diperintahkan membela diri pada 24 November lalu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pendakwaan mengemukakan 22 saksi termasuk bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood dan pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan.

Turut tampil sebagai saksi pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur yang memberi keterangan bermula 30 Mac 2022. – 3 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen