Siti Bainun bersalah abai, aniaya Bella


Kalidevi Mogan Kumarappa

Siti Bainun Ahd Razali tiba di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pagi ini. Beliau didapati bersalah bagi dua tuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down yang dikenali sebagai Bella. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 Mei, 2023.

PENGASAS rumah kebajikan Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didapati bersalah bagi dua tuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down yang dikenali sebagai Bella.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi berpuas hati bahawa keterangan pembelaan tidak dapat dipercayai, tidak boleh diterima dan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Selepas menimbangkan semua keterangan, saya mendapati pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah ke atas kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

“Saya dengan ini mendapati tertuduh didapati bersalah di atas pertuduhan pertama dan kedua tersebut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 ,” kata Izralizam.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Wanita itu didakwa melakukan demikian di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Siti Bainun hadir ke mahkamah dengan memakai baju kuning dan berseluar hitam ditemani seorang wanita.

Pada 9 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemukakan lapan saksi dengan Siti Bainun sebagai saksi pembelaan pertama.

Turut memberi keterangan, pensyarah psikologi kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai.

Pegawai penemubual Pusat Temuduga Kanak-Kanak Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim dan Nor Aidil Farhab Johaizad juga memberi keterangan.

Siti Bainun diperintahkan membela diri pada 24 November lalu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pendakwaan mengemukakan 22 saksi termasuk bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood dan pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan.

Turut tampil sebagai saksi pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur yang memberi keterangan bermula 30 Mac 2022. – 3 Mei, 2023. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen