Kegelisahan Sanusi dan Rumah Terbuka Madani


Fakhrurrazi Rashid

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor anggap Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani merupakan program politik yang membazirkan duit rakyat. – Gambar Facebook, 28 April, 2023.

TIDAK sampai beberapa hari kita menyambut Syawal, sudah kedengaran bunyi sumbang politik yang berkisar tentang rasa tidak puas hati dalam isu remeh.

Itulah situasi semasa Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang begitu bersungguh-sungguh mengkritik keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat rumah terbuka di enam negeri yang bakal berhadapan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Sanusi menganggap Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani merupakan program politik yang membazirkan duit rakyat, yakni bertentangan dengan pendirian kerajaan perpaduan untuk melakukan langkah penjimatan.

Bagi Sanusi, rumah terbuka tersebut lebih bersifat kempen pilihan raya berbanding sambutan Hari Raya itu sendiri.

Komentar Sanusi dalam isu ini sebenarnya remeh dan tidak mencerminkan semangat muhibah.

Ironinya, sikap Sanusi amat berbeza dengan menteri besar Kelantan dan Terengganu yang amat terbuka dengan penganjuran rumah terbuka perdana menteri di negeri masing-masing.

Adakah perbezaan ini bermaksud pemimpin PAS Kedah lebih cacamarba daripada Kelantan dan Terengganu?

Pengajuran rumah terbuka di luar Seri Perdana adalah satu pendekatan segar. Ia lebih mesra rakyat, khususnya di luar Lembah Klang, untuk berjumpa dengan pemimpin tertinggi negara.

Hubungan erat antara rakyat, kerajaan negeri, dan kerajaan pusat dapat diperkukuh dengan mengangkat peranan negeri dalam menganjurkan program terbesar buat rakyat.

Persoalannya, mengapa Sanusi gelisah dan melompat dengan idea rumah terbuka perdana menteri ini?

Perkembangan pasca PRU15 menyaksikan prestasi Anwar dan kerajaan perpaduan mendapat sambutan positif daripada rakyat. Meskipun berlaku beberapa kelemahan, kerajaan perpaduan komited mengatasi masalah semasa.

Perubahan drastik dalam beberapa sektor dan institusi yang menguntungkan rakyat juga sedang dilaksanakan kerajaan perpaduan dengan serius dan bersungguh-sungguh.

Pengaruh pemimpin nasional

Politik Kedah masih dipengaruhi figura besar dalam mempengaruhi pandangan pengundi.

Jika kita imbas kembali PRU13, pengaruh Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu berkempen untuk BN menjadi antara faktor penting kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pimpinan ustaz Azizan Abdul Razak tumbang di samping kelemahan pemimpin PAS waktu itu dalam mentadbir Kedah.

Senario yang sama berlaku pada PRU14 yang membawa kepada pertukaran kerajaan BN Kedah.

Pemimpin nasional seperti Anwar yang amat dekat dengan rakyat Kedah sejak usia mudanya, boleh memberi saingan sengit kepada PN dan PAS di Kedah meskipun kekurangan figura tempatan dalam PH dan BN Kedah.

Hakikatnya, PAS dan Bersatu juga ketandusan figura nasional  setanding Anwar untuk menarik pengundi Kedah.

Sebab itu, rumah terbuka hari raya Aidilfitri perdana menteri ini dilihat boleh menggugat momentum PN menjelang PRN tidak lama lagi. Kerajaan perpaduan akan menggunakan kesempatan yang ada untuk memperluaskan pengaruh di Kedah dan negeri lain.

Dari sudut berbeza, orang Kedah sudah biasa dengan pertukaran kerajaan negeri sejak 2008. Pengundi negeri Kedah secara asasnya berpengalaman luas dalam menilai baik buruk kepemimpinan dan prestasi BN, PH, mahupun PN.

Populariti calon menteri besar bukan satu ukuran tepat melihat pola pengundian di negeri Kedah. Faktanya, selepas pertukaran kerajaan negeri Kedah pada 2008, tidak ada seorang menteri besar yang bertahan lebih sepenggal.

Konflik dalaman parti kerajaan sering menjadi punca politik Kedah tidak stabil dan kerap berlaku pertukaran menteri besar sejak 2013.

Jadi, tidak mustahil jika pengundi menolak PN Kedah dan Sanusi sekiranya mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik sepanjang mentadbir negeri.

Sanusi tidak seharusnya bimbang akan pengaruh PH dan BN. Dia sendiri yakin PN akan menang 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah berdasarkan keputusan semasa PRU15.

Tetapi, unjuran Sanusi ini tidak memberi jaminan apa-apa memandangkan momentum “gelombang hijau” PRU15 kendur dan hanya berkisar politik sentimen semata-mata.

Situasi PN dan PAS di Kedah sekarang juga amat berbeza sebelum PRU15 kerana mereka terpaksa menjawab isu skandal ketirisan Jana Wibawa yang didakwa berkaitan dengan pemimpin kanan Bersatu.

Malah, ini masanya rakyat Kedah menilai prestasi Sanusi dalam pentabiran Kedah memandangkan beberapa isu asas seperti bekalan air, bencana alam dan banjir, dan isu pembangunan masih lagi membelenggu rakyat Kedah.

Mampukah PH dan BN bangkit?

Atas kapasiti sebagai pengarah pilihan raya PN, Sanusi menanggung beban berat kerana terpaksa memenangkan gabungan itu dalam enam PRN kali ini, khasnya. 

Jika prestasi PN merudum dan Kedah beralih kepada kerajaan perpaduan, maka reputasi Sanusi akan dipersoal dan dikritik hebat baik dalam dan luar partinya.

PRN Kedah ini bakal menyaksikan persekitaran baharu politik negeri. Dengan lulusnya Enakmen Anti Lompat Parti di DUN Kedah pada 15 Mac lalu, memberi jaminan kepada pengundi Kedah agar insiden Langkah Sheraton dan Adun melompat parti tidak berlaku lagi.

Persoalan, sejauh mana pula BN dan PH mampu mengembalikan keyakinan rakyat Kedah untuk mengundi mereka?

Imej Umno-BN masih samar di mata pengundi Kedah yang menolak parti itu sejak PRU14. Kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno dan terpalit dengan kluster mahkamah, tidak memberi nilai tambah untuk meyakinkan pengundi Kedah.

Sosok Anwar memang laku untuk menarik sokongan pengundi atas pagar di Kedah. Cuma, tidak masuk akal jika PH dan BN hanya mengharapkan pengaruh Anwar dan melaksanakan rumah terbuka semata-mata bagi memenangi PRN di Kedah dan negeri lain.

Kedah bakal menyaksikan pertempuran sengit antara gabungan parti PN dan kerajaan perpaduan yang pernah menerajui pentadbiran negeri sebelum ini.

Terpulang pada kebijaksanaan pengundi Kedah sama ada untuk memberi peluang kepada PN mentadbir Kedah atau mencari selera baharu. – 28 April, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen