Pesakit kanser diberi dokumen pengenalan sementara, kata JPN


Ravin Palanisamy

Menurut Jabatan Pendaftaran Negara pihaknya bertemu Lina Samuel (tengah) sebelum kematiannya dan dia diberikan dokumen pengenalan sementara pada 13 April untuk mendapatkan rawatan perubatan bagi kanser kolon di sebuah hospital. – 25 April, 2023.

PESAKIT kanser, Lina Samuel, 65, yang meninggal dunia hari ini di tengah-tengah pertikaian mengenai kewarganegaraannya, telah diberikan dokumen pengenalan sementara untuk membolehkannya mendapatkan rawatan perubatan, kata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Mendiang yang sebelum ini dilaporkan media tidak memiliki kad pengenalan untuk mendapatkan rawatan di hospital menarik perhatian banyak pihak.

“JPN bertemu dengan si mati dan membuka semula kertas siasatan kesnya. Bagaimanapun, berdasarkan keprihatinan dan kebajikan Lina, JPN telah mengeluarkan dokumen pengenalan sementara (KPPK11) kepadanya pada 13 April 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JPN juga berkata, menurut kenyataan pengarah kesihatan Sarawak, Lina diberi rawatan sewajarnya di Hospital Miri secara berterusan tanpa sebarang prejudis walaupun tiada dokumen pengenalan diri.

JPN merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Lina.

Terdahulu hari ini, Lina yang menghidap kanser kolon tahap empat dilaporkan meninggal dunia pagi tadi.

Kematian Lina disahkan oleh Agnes Padan dari Parti Bangsa Malaysia, yang berkata mangsa kanser meninggal dunia di Hospital Lawas.

Sebelum ini Lina mendakwa kad pengenalannya dirampas oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada November 2022 ketika dia melawat jabatan itu untuk menukar alamat menjelang pilihan raya umum ke-15.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata MyKad Lina disita oleh JPN pada 8 Oktober 2019 kerana mendapati dia bukan warganegara kerana sijil kelahiran anak-anaknya menunjukkan kewarganegaraannya adalah warga Indonesia.

Lina adalah dari kumpulan Lun Bawang.

Selepas pertemuan dengan pegawai dari JPN Kuching beliau diberikan MyKad sementara yang membolehkan beliau melakukan perjalanan melalui udara atau darat dari Lawas ke Miri bagi membolehkan dia menerima rawatan kanser kolon.

Bagaimanapun Agnes hari ini mendedahkan Lina menolak rawatan sejak beberapa hari lalu dan mengatakan dia terlalu lemah.– 25 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen