Pesakit kanser berdepan isu kewarganegaraan meninggal dunia pagi tadi


Lina Samuel (tengah) meninggal dunia malam tadi di Hospital Lawas di Sarawak selepas mengalami kesukaran bernafas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2023.

SEORANG pesakit kanser berusia 65 tahun yang MyKadnya dirampas secara salah ekoran pertikaian mengenai status kerakyatannya sebelum ini meninggal dunia pagi ini.

Kematian Lina Samuel disahkan kepada portal berita Malaysiakini oleh Parti Bangsa Malaysia (PBM) Agnes Padan.

Lina meninggal dunia malam tadi di Hospital Lawas di Sarawak selepas mengalami kesukaran bernafas.

“Dia bergelut dengan kanser usus tahap empat. Dia berada dalam keadaan kritikal malam tadi, jadi dia dimasukkan ke hospital kira-kira jam 10 malam,” kata Agnes dipetik Malaysiakini hari ini.

Lina meninggalkan dua anak perempuan dan dua anak lelaki yang tidak memiliki status warganegara.

“Keluarganya telah membawa pulang jenazahnya ke kampungnya di Long Sebangang di Lawas.

“Tetapi saya tidak pasti sama ada pengebumian akan diadakan hari ini atau tidak kerana mereka sedang menunggu anak lelakinya pulang dari Baram,” kata Agnes.

Sebelum ini Lina mendakwa kad pengenalannya dirampas oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada November 2022 ketika dia melawat jabatan itu untuk menukar alamat menjelang pilihan raya umum ke-15.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata MyKad Lina disita oleh JPN pada 8 Oktober 2019 kerana mendapati dia bukan warganegara kerana sijil kelahiran anak-anaknya menunjukkan kewarganegaraannya adalah warga Indonesia.

Lina adalah dari kumpulan Lun Bawang.

Selepas pertemuan dengan pegawai dari JPN Kuching beliau diberikan MyKad sementara yang membolehkan beliau melakukan perjalanan melalui udara atau darat dari Lawas ke Miri bagi membolehkan dia menerima rawatan kanser kolon.

Bagaimanapun Agnes hari ini mendedahkan Lina menolak rawatan sejak beberapa hari lalu dan mengatakan dia terlalu lemah.

Melibatkan tiga generasi

Sehingga kini masih tidak pasti sama ada status kewarganegaraan Lina sudah diselesaikan ataupun tidak.

“Sehingga hari dia meninggal dunia, dia tidak dapat semula MyKad.

“Kami berharap menteri dalam negeri akan melihat isu kewarganegaraan Lina kerana ia membabitkan tiga generasi.

“Lina telah menderita. Empat anaknya tiada status warganegara walaupun mereka dilahirkan di Lawas dan anak mereka juga tidak bernegara. Ini masalah besar di Lawas,” katanya.

Isu kewarganegaraan Lina memberi tumpuan bahawa masih terdapat beribu-ribu rakyat Malaysia yang menjalani kehidupan di negara ini tanpa kewarganegaraan.

Ini merupakan isu besar terutamanya melibatkan komuniti kecil yang tinggal di kawasan terpencil.

Ketiadaan kerakyatan di Malaysia juga semakin rumit oleh fakta bahawa sesetengah kumpulan orang asli mungkin mempunyai adat dan peraturan mereka sendiri yang tidak selaras dengan undang-undang negara. – 25 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen