Makanan berkualiti untuk kesayangan mereka, kata pencinta haiwan


Noel Achariam

JF Paw Doggie House Force berkata mereka tiada pilihan selain menaikkan harga makanan haiwan seperti ditetapkan pembekal susulan kos sara hidup yang tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2023.

PENCINTA haiwan peliharaan tidak berkompromi dengan makanan haiwan kesayangan mereka walaupun berlaku kenaikan harga.

Kata mereka meskipun berlaku kenaikan harga 15% atau lebih, mereka akan tetap membeli makanan tersebut.

Pemilik haiwan peliharaan dari Ampang Jay P Singh yang memiliki enam anjng baka campuran berkata kenaikan harga makanan haiwan bagi jenama sama sudah meningkat antara 15% hingga 20%.

Katanya, kos untuk makanan haiwan dibelanjakan mencecah RM5,000 sebulan.

“Saya tak boleh nak berjimat melainkan saya bagi orang haiwan peliharaan saya untuk kurangkan pengambilan makanan.

“Saya tak boleh ubah jenama makanan juga sebab saya tak mahu sebarang kesan sampingan seperti masalah kulit atau penyakit lain yang mungkin akan makan kos lain apabila terpaksa bawa mereka ke veterinar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kata Jay sebagai pencinta haiwan peliharaan dia tidak sanggup berpisah dengan haiwan kesayangannya itu.

“Saya ahli perniagaan dan saya masih mampu tetapi tidaklah sehingga harga makanan itu meningkat sapai tak masuk akal lagi.

“Kalau saya pilih jenama yang lebih murah mungkin tak sesuai dengan aning saya dan mungkin akan ada kesan buruk. Tapi saya tidak boleh bela lebih banyak anjing lagi sebab dah tak mampu,” katanya.

Pemilik JF Paw Doggie House Force Cheah berkata mereka tiada pilihan selain menaikkan harga makanan haiwan seperti ditetapkan pembekal susulan kos sara hidup yang tinggi.

Katanya selepas Tahun Baru Cina, berlaku peningkatan harga makanan haiwan yang ditetapkan oleh pembekal dan pengedar.

“Harga sesetengah jenama meningkat sejak beberapa bulan lepas tapi secara keseluruhan semua jenama naik 15% atau lebih.

“Ini mungkin sebab kos untuk mendapatkan produk mentah bagi menyediakan makanan itu naik.

“Mereka (pembekal) naikkan harga, kami kena ikut. Jika tidak, kami pun tak untung apa-apa,” katanya.

Tambahnya, perniagaannya juga jatuh sehingga 20% memandangkan pelanggan memilih jenama alternatif.

Cheah berkata kini harga makanan anjing bagi 15kg berharga sekitar RM120, sementara jenama lebih murah berharga RM68 untuk 10kg.

“Jenama premium sebelum ini harganya sekitar RM168 dan sekarang berharga RM190 untuk 18kg.

“Jenama premium yang lain biasanya berharga RM186 dan sekarang RM205.

“Untuk jenis super premium, harga bagi 15kg adalah RM480 dan sekarang RM590,” katanya. – 24 April, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen