SEORANG lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam ketika satu operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) minggu lepas.
Tertuduh, Patrick Khoo Kian Wui, 69, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10 ribu atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Saya faham, dan mengaku tidak bersalah,” katanya.
Khoo dituduh melakukan kesalahan itu pada lebih kurang 9 malam, 22 Mac lalu di sebuah premis di Taman Kanagapuram, Petaling Jaya.
Majistret membenarkan Khoo diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Jun.
Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farhana Fuad manakala tertuduh diwakili peguam Rajsurian Pillai dan Tan Chee Fu.
Media sebelum ini melaporkan polis menyiasat insiden pergelutan antara anggota penguatkuasa MBPJ dengan seorang lelaki semasa operasi menangkap anjing liar di Taman Kanagapuran di Petaling Jaya, Jumaat lepas.
Rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian itu tersebar di media sosial.
Siasatan dijalankan polis susulan dua laporan polis diterima, masing-masing daripada seorang kakitangan MBPJ dan seorang lelaki tempatan.
Warga emas itu dikatakan cuba melindungi kumpulan anjing liar itu dengan memasukkan haiwan itu ke dalam premisnya menyebabkan pasukan penangkap anjing cuba menghalang tindakannya.
Berikutan itu, berlaku sedikit pergelutan antara mereka sehingga menyebabkan bahagian muka lelaki warga emas itu terkena batang rod penangkap anjing. – 31 Mac, 2023.
Komen