Cuba selamatkan anak, wanita hamil cedera diserang anjing jiran


Mangsa diserang anjing jirannya jenis Labrador ketika cuba menyelamatkan anak-anaknya daripada haiwan tersebut. – Gambar fail EPA, 12 Jun, 2022.

SEORANG wanita yang sedang hamil mengalami kecederaan dipercayai akibat diserang seekor anjing milik jirannya ketika cuba menghalang haiwan itu daripada menyerang anak-anaknya di parkir sebuah kondominium di Batu 9, Cheras petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian 5.43 petang itu mangsa berusia 35 tahun diserang anjing jenis Labrador dan menerima rawatan di Hospital Kajang serta rawatan susulan di Animal Bite Clinic, Hospital Serdang.

“Siasatan mendapati anjing peliharaan itu adalah milik seorang wanita tempatan berusia 38 tahun yang tinggal di kawasan yang sama dan tidak mempunyai lesen yang sah untuk memelihara anjing itu.

“Kejadian berkenaan berpunca daripada pemilik anjing yang cuai dan terlepas tali pengikat anjing menyebabkan haiwan itu bertindak di luar kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda RM 2,000 atau kedua-duanya. 

Mohd Zaid menyeru orang ramai yang ingin memelihara anjing di mana-mana premis termasuk rumah persendirian supaya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan serta memastikan haiwan peliharaan mereka dikawal rapi bagi mengelak kejadian yang tidak diingini. 

Tambahnya orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai polis atau terus menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Muhammad Fadeli Safii melalui talian 012-5373134. β€“ Bernama, 12 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen