GANJAR Pranowo, calon presiden Indonesia bagi Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), berikrar mahu meneruskan agenda pembangunan era Presiden Joko Widodo, lapor media di republik itu.
Katanya, pembangunan yang sudah berjalan sekarang adalah asas untuk kemajuan ekonomi Indonesia dan kerana itu beliau akan meneruskannya.
“Tentu saja hari ini pembangunan yang sudah dilakukan oleh Pak Jokowi harus dilanjutkan,” katanya, seperti dipetik portal berita Detik.
Semalam, Ketua Umum PDIP Megawati Soekarnoputri mengumumkan nama gabenor Jawa Tengah itu sebagai calon presiden bagi partinya untuk pemilihan presiden yang akan berlangsung pada Februari tahun depan.
PDIP dijangka membentuk gabungan politik bersama Golkar, PAN, PPP dan Gerindra untuk pemilihan yang bakal berjalan serentak dengan pilihan raya parlimen.
Selepas majlis pengumuman yang dibuat di kediaman bekas presiden Sukarno di Bogor semalam, Ganjar pulang ke Solo menaiki pesawat bersama Jokowi.
Katanya, dalam penerbangan itu Jokowi sempat berkongsi dengannya beberapa hal termasuk perlunya Indonesia melakukan lompatan besar dalam usaha membangunkan negara.
Beliau menyebut antaranya pelan pembangunan hiliran yang giat dikembangkan oleh pentadbiran Jokowi sejak kebelakangan ini.
“Saya harus menjaga itu, ini mesti kita jaga dan kita lanjutkan,” kata Ganjar. – 22 April, 2023.
Komen