PRESIDEN Indonesia Joko Widodo hari ini mahu siasatan penuh dijalankan berhubung tragedi rusuhan yang mengorbankan 129 orang termasuk dua anggota polis dalam rusuhan yang tercetus selepas perlawanan bola sepak di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur pada Sabtu.
Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dan polis juga diminta melakukan penilaian menyeluruh terhadap pelaksanaan pertandingan dan prosedur keselamatan.
“Saya kesal dengan berlakunya tragedi ini dan berharap ini adalah tragedi terakhir bola sepak di tanah air. Jangan ada lagi tragedi kemanusiaan seperti ini di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Rusuhan selepas perlawanan antara Arema FC dengan Persebaya Surabaya turut menyebabkan 180 lagi cedera, menurut polis Jawa Timur.
Ketua polis daerah Jawa Timur Nico Afinta berkata, penyokong Arema yang berang selepas pasukan mereka tewas 3-2 dalam pertembungan ‘derby Jawa Timur’ itu menyerbu padang untuk menyerang pemain dan pegawai.
Anggota keselamatan cuba memujuk penyokong kembali ke tempat duduk, tetapi mereka semakin ganas menyebabkan gas pemedih mata digunakan dan berlaku rempuhan semasa mereka cuba lari keluar.
“Mereka berhimpit-himpit di salah satu pintu keluar, kalau tidak salah pintu 10 atau pintu 12 hingga menyebabkan ada yang sesak nafas dan kekurangan oksigen dan pasukan perubatan mencuba sedaya upaya menjalankan usaha menyelamat,” kata Nico.
Gas pemedih mata turut digunakan di luar stadium terhadap perusuh yang menghalang jalan keluar dan melempar objek ke kereta perisai rombongan kelab Persebaya Surabaya.
Insiden itu turut menyebabkan beberapa penyokong Arema dan anggota keselamatan mengalami kecederaan serta 13 unit kenderaan polis rosak dan dibakar.
Sementara itu, Ketua Umum PSSI Mochamad Iriawan mengumumkan Liga 1 musim 2022-2023 digantung selama seminggu, manakala Arema dilarang menjadi tuan rumah untuk baki perlawanan.
“Kami memohon maaf kepada keluarga mangsa dan semua pihak atas kejadian ini,” katanya.
Beliau berkata, pasukan penyiasat PSSI dihantar ke Malang dan akan memberi kerjasama penuh kepada polis untuk menyiasat kes yang mencalarkan imej bola sepak Indonesia.
Arema pula membentuk pusat pengurusan krisis untuk menyalurkan maklumat dan sedia memberi pampasan kepada mangsa.
Kelab di Liga 1 Indonesia mengucapkan takziah atas tragedi yang berlaku, manakala di Kuala Lumpur, ucapan sama dirakamkan Persatuan Bolasepak Malaysia dan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) kepada keluarga mangsa yang terkorban.
“Doa dan ingatan kami sentiasa bersama anda. Tiada tempat dalam bola sepak untuk insiden sebegini sehingga membabitkan kehilangan nyawa,” menurut JDT menerusi hantaran di Facebook rasmi kelab.
Rusuhan pada Sabtu antara tragedi paling tragis dalam dunia bola sepak.
Pada 1964, 318 orang terbunuh dan 500 cedera semasa perlawanan kelayakan Olimpik antara Peru dan Argentina di Stadium Nasional di Lima, Peru.
Pada 2001, polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penyokong liar semasa perlawanan antara Hearts of Oak dan Asante Kotoko di Ghana menyebabkan 70,000 orang bergegas keluar dari stadium sekali gus berlaku rempuhan hingga menyebabkan 126 orang terbunuh. – Bernama, 2 Oktober, 2022.
Komen