Dodol bukti Melayu tak malas


Faisal Tehrani

dodol juga makanan yang terdapat di seluruh Asia Tenggara. Maka ia tidak terhad kepada Indonesia atau Malaysia sahaja. Sebagai misalan, di Myanmar ia diberi nama mont kalama, manakala di Thailand ia dipanggil kalamea.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 April, 2023.

SALAH satu makanan kemestian di Hari Raya tidak dapat tidak adalah dodol. Ia sejenis manisan yang liat licin, diperbuat daripada tepung beras pulut, gula Melaka atau gula kabung, dan santan yang menjadikannya terasa agak lemak. 

Dokumen sejarah menunjukkan dodol dirakamkan di Betawi, Indonesia sejak zaman Belanda. Akan tetapi rekod 1926 itu tidak dapat dijadikan sandaran memandangkan tentu sahaja dodol sudah ada lebih lama dari itu. Ini kerana terdapat pantun dan peribahasa Melayu yang menyebutkan dodol sejak demikian lama.

Selain itu, dodol juga makanan yang terdapat di seluruh Asia Tenggara. Maka ia tidak terhad kepada Indonesia atau Malaysia sahaja. Sebagai misalan, di Myanmar ia diberi nama mont kalama, manakala di Thailand ia dipanggil kalamea. 

Di sesetengah tempat di Jawa ia dirujuk sebagai jenang. Di Negeri Sembilan dan Melaka, dodol juga diberi julukan sebagai penganan dan kelamai, kadang dieja gelamai. 

Jenang iaitu dodol di Jawa merupakan makanan tradisional khas yang sudah pun wujud sebelum ketibaan agama Hindu pada abad ke-4 Masehi. Jenang sepertinya dodol diperbuat daripada tepung beras dan tepung pulut. Bahan-bahan tersebut kemudian dimasak dengan campuran santan, gula merah atau gula pasir.

Variasi dodol pelbagai rasa terdapat di Indonesia yang barangkali tidak menggiurkan pencinta asli dodol tetapi mungkin memikat generasi baru atau kumpulan pelancong neofilik yang merupakan pelancong-gastro yang mengembara untuk makan-makan. 

Dodol beraneka rasa itu merangkumi dodol perasa nangka, dodol kacang hijau, dodol ubi, dodol salak, dodol tomato, dodol mangga malah dodol epal. 

Di Malaysia dodol perasa durian antara yang paling masyhur. Varian Dodol Pilah (yang berasal dari Kuala Pilah) dapat dianggap paling asli.

Dodol tradisional dibalut dengan upih iaitu daun kering pinang. Di Negeri Sembilan ia juga disimpan atau dipakejkan dalam tampin, yang dianyam daripada daun mengkuang. Di sesetengah tempat ia juga dibalut dengan daun palas.

Dodol tradisional dimasak menggunakan bakaran kayu api yang meninggalkan semacam bau atau aroma asap yang menyelerakan. Ia dimasak di dalam kuali besi atau tembaga.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 April, 2023.

Perbandingan yang dibuat antara dodol dan kalamea iaitu variasi dodol Thai, terdapat perbezaan sangat kecil. Jika dodol Malaysia dan Indonesia turut menggunakan air, tetapi resepi kalamea nampaknya ikut memanfaatkan bijan putih. 

Pembuatan dodol memakan masa enam ke lapan jam yang memerlukan kepakaran dan kemahiran mengawal api dan kepanasan secara manual. Dodol tradisional dimasak dengan menggunakan bakaran kayu api yang meninggalkan semacam bau atau aroma asap yang menyelerakan. Ia dimasak di dalam kuali besi atau tembaga. 

Di Malaysia, pada waktu terdahulu, kebiasaannya dodol disediakan untuk Hari Raya. Ia dijadikan satu aktiviti kemasyarakatan kerana pembikinan dodol memerlukan semangat dan kerja berpasukan. Jarang sekali dodol disiapkan tanpa gotong-royong. 

Sejak dari proses mengukur kelapa untuk beroleh santan, menyediakan kayu api atau sabut kelapa, menyiapkan kuali sehinggalah proses pengacauan yang begitu lama, dodol memerlukan sekampung untuk menyiapkannya. 

Semakin menuju ke hujung semakin dodol sukar dikacau dan memerlukan tenaga yang bukan sedikit. Oleh sebab ia dimasak pada bulan Ramadan, bermula dari pagi membawa ke senja, maka dapat dibayangkan penyediaannya yang begitu mencabar di cuaca iklim tropika. 

Oleh sebab ia sulit disediakan, dodol hari ini juga telah mengalami proses penyediaan yang moden, yang menekankan kecepatan. Akibatnya ia mudah basi, terasa tidak autentik dan kurang enak.

Di Malaysia, dodol dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Meskipun dodol ikut disediakan di Myanmar dan Thailand, ia tidak pernah diasosiasikan dengan masyarakat Cina di sana. 

Di negara kita, dodol juga suka dimakan oleh kelompok Baba dan Nyonya, yang merupakan masyarakat Cina yang mengamalkan budaya Melayu. Cina Peranakan ini banyak tertumpu di Negeri Selat iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. 

Dengan kuasa wang dan kesungguhan, dodol diadaptasi menjadi makanan kekal masyarakat Baba. Lama-kelamaan seperti nasib nagasari yang ‘diadaptasi’ menjadi kuih puteri dua sebilik, dodol tiba-tiba dikaitkan dengan orang Cina. 

Ini juga terjadi kepada pelbagai jenis talam; ia direbut dan dijenamakan sebagai sajian Baba meskipun harus diingat masyarakat Cina tidak mempunyai kemahiran menyediakan hidangan dengan santan dan kelapa. 

Selain itu, barang diingat minoriti Baba adalah masyarakat peniaga dan saudagar yang tidak ada masa lewah untuk didedikasikan mengacau dodol selama tujuh atau lapan jam lamanya.

Jika kita meninjau pantun lama, kebanyakan pantun yang menyebutkan dodol sebagai pembayang atau maksud berasal dari Riau, daerah yang dianggap jantung Alam Melayu. Antara lain pantun itu ialah:

Anak kuda tegak meringkik,

Kaki belakangnya kena bisul; 

Awak buta berlagak celik, 

Tahi dipegang dikira dodol.

Seperti dinyatakan sebelum, dodol juga dikenali sebagai penganan dan gelamai. Pantun yang menyentuh penganan juga agak bersepah. Sebagai contoh:

Rosak lepat terbuang tengguli, 

Terbuang tengguli busuk penganan; 

Rosak adat terbuanglah budi, 

Terbuang budi teruklah iman.

Cik Siti buat penganan, 

Penganan dibuat untuk kenduri; 

Bilalah hati sudah berkenan, 

Orang lain tak usah peduli.

Manakala peribahasa dengan penggunaan istilah gelamai adalah ‘tidak mudah gelamai, kurang haru cirit kambingan terlampau haru berlantingan’. Ia bermaksud ‘kalau tidak hati-hati mengerjakan sesuatu tentu tidak selamat’.

Alasan-alasan sejarah dan bahasa di atas memadai untuk menunjukkan dodol adalah milik bangsa Melayu.

Menurut kajian Norsyahidah Ismail dari Universiti Putra Malaysia, dalam ‘The Malay’s Traditional Sweet, Dodol: A Review of the Malaysia’s Heritage Delicacy Alongside With The Rendition of Neighbouring Countries’ dan Mohd Yusof Kamaruzaman dalam ‘The Diversity of Traditional Malay Kuih in Malaysia and Its Potentials’, makanan tradisional Melayu termasuk dodol  telah mengalami perubahan modifikasi yang menyebabkan banyak makanan Melayu disangkakan sebagai makanan Cina Peranakan.

Kekuatan kewangan masyarakat Cina seperti di Melaka membolehkan mereka memasarkan makanan ini dan menjenamakan ia besar-besaran sebagai sajian Peranakan, menenggelamkan bakat orang Melayu dan asal-usul dodol sebenar. 

Di Singapura, yang mempunyai kekuatan pemasaran secara global, dodol direbut dan diketengahkan ke peringkat dunia sebagai sajian Baba Singapura dengan mengabaikan sekali sejarah dan latar budaya dodol yang begitu kuat di negeri-negeri Melayu.

Terdapat ahli akademik dalam bidang gastronomi yang berpandangan biarkan sahaja dodol dijenamakan sebagai ‘makanan tradisional Malaysia’ dengan mengetepikan ia sebagai warisan Melayu, ini kerana apabila terjual atau dipasarkan sebagai ‘makanan Malaysia’ ia lebih berpotensi untuk berkembang dan merentang kemungkinan pupus. 

Ini berbanding meletakkannya sebagai makanan Melayu yang mungkin akan diabaikan.

Hari Raya ini jika anda mengecap dodol, ingatlah bahawa ia sejenis makanan yang dicipta oleh bangsa untuk menjalin setiakawan atau gotong royong sekampung. 

Ia juga diketengahkan kerana bangsa Melayu adalah bangsa berseni dan sabar menempuh proses yang panjang. 

Jauh daripada julukan pemalas yang kadang-kala dilemparkan oleh sesetengah pihak, termasuk kolonialis. – 22 April 2023. 

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen