Beragama dengan ihsan


Mohd Syazreen Abdullah

KEISLAMAN kita belum sempurna andai masih buat-buat lupa tentang konsep ihsan dalam kehidupan beragama.

Ihsan bahagian hakiki dan tunjang dalam agama. Ketika bertemu Nabi Muhammad SAW, Jibril tidak sekadar puas bertanyakan mengenai hakikat Islam dengan sekadar berhenti pada jawapan syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Bahkan sebaliknya Jibril terus menyambung bertanya tentang ihsan.

Ihsan itu memberi nikmat kepada pihak lain dengan melakukan perbuatan yang baik.

Ihsan dapat berlaku kepada Allah dan makhluk – manusia, binatang, tumbuhan dan alam semesta. Banyak orang melupakan ihsan dalam kehidupan sosial iaitu kepada makhluk.

Ihsan tidak sepatutnya menjadi sikap pilihan atau sampingan dalam beragama, atau amalan kifayah.

Bersikap ihsan seharusnya menjadi fardu kewajiban dalam diri setiap orang-orang yang mengaku beragama.

Ihsan bergandingan dengan sikap empati dan itsār. Maksud itsār berkhidmat kepada sesama manusia tanpa menyisakan sedikit pun untuk dirinya sendiri sehingga melebihi atau mendahulukan kepentingan orang lain.

Berkorban setiap hal yang kita sayangi dan miliki dengan memberi demi kebaikan.

Sikap dan amalan ini tidak mudah. Bahkan banyak orang lebih mudah untuk melaksanakan ibadah-ibadah lain tetapi gagal berlaku ihsan dalam beragama.

Lihatlah fenomena beragama dalam masyarakat kita hari ini. Banyak orang berkemampuan menunaikan haji dan umrah walau berpuluh-puluh kali tetapi belum tentu dikurniakan sifat ihsan dan itsār dalam diri.

Mereka orang-orang kaya lebih suka menghabiskan duit mereka dalam ketamakan pahala ibadah seperti menunaikan ibadah umrah dan mengejar malam LailatulQadar di Mekah.

Ironinya walau berkali-kali tetapi tanpa petunjuk ilahi, ia belum tentu mampu dapat memikirkan tanggungjawab dalam masalah sosial dan kemiskinan umat hari ini.

Soalnya di manakah posisi dan aulawiyat-nya masalah kemiskinan pendidikan, masalah keciciran anak-anak kecil dalam pelajaran, masalah kanak-kanak yang tidak mampu ke sekolah kerana beban kemiskinan, masalah kelaparan orang miskin dan anak-anak yatim dalam tuntutan agama daripada perspektif ihsan?

Bukalah hati dan tanyalah iman.

Buktinya dokumen keciciran Pendidikan Malaysia 2023 daripada Untuk Malaysia, Sebuah Pertubuhan Gerakan Perubahan Pendidikan telah “…menganggarkan 1% kanak-kanak yang berumur dari 7 hingga 12 tahun tidak bersekolah.

Ini bermakna sehingga 31,154 anak-anak di Malaysia keciciran dari pendidikan. Data ini konsisten dengan data daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu seramai 34,074 murid cicir pada 2018 dan seramai 21,316 lagi cicir pada 2019.

Bahkan secara kasar daripada jumlah kanak-kanak Orang Asli sekitar 60,800 orang pada 2020, dikhuatiri seramai 35,640 kanak-kanak atau 58.62% tidak menamatkan sesi persekolahan mereka sehingga Tingkatan 5.”

Sebagai Muslim membaca laporan mengenai masalah keciciran, kemiskinan dan kesusahan orang lain akan menuntut kita untuk menjadi tidak senang duduk dengan apa yang terjadi dalam kehidupan kemiskinan masyarakat kita pada hari ini – kerana ada orang masih banyak lagi hidup dalam kesusahan.

Sementara kita hari ini bernasib baik belum diuji dengan kesusahan itu masih boleh tenang dan sibuk memikirkan tentang ibadah umrah kita yang berkali-kali itu berbanding memikirkan tentang masalah kritikal sosial hari ini.

Islam versi apakah yang kita imani hari ini jika masih ada saudara di luar yang dalam kesusahan sedangkan kita mengabaikan tanggungjawab membantu mereka?

Masalah ini tidak selesai selagi mana pengamalan ihsan tidak menjadi nilai utama dalam beragama.

Ceramah agama kita tidak banyak memupuk kesedaran umat untuk bersikap ihsan membantu kesusahan orang lain.

Agamawan hanya tahu menunggang kata ihsan ketika mahu memohon sumbangan sahaja. Mereka tidak upaya mendidik sikap ihsan dalam mengeluarkan kemiskinan dan kesusahan nasib masyarakat hari ini.

Sepatutnya tumbuhkan sikap empati dan itsār sehingga bersama-sama dalam menggembleng gerakan perubahan kemiskinan dan pendidikan hari ini.

Demikian Islam sangat menekankan sikap mengambil berat terhadap kesusahan orang lain dengan berlaku ihsan. Islam mahu umatnya sentiasa peka terhadap kebajikan orang di sekeliling hidup kita.

Antara latihan kerohanian mendorong sikap ihsan adalah salah satunya membuang ego dengan mengeluarkan harta-harta yang disayangi kepada orang lain demi kebahagian orang lain.

Mari kita bersama-sama mengambil ibrah dan pengajaran kisah tauladan nabi dan para sahabat mengenai kedudukan sikap ihsan.

Rasulullah pernah bercerita tentang orang-orang yang mendapat derajat tertinggi. Kata Nabi, orang inilah asbab Allah menurunkan hujan, menumbuhkan tanaman, menyelamatkan sesuatu dari bencana atas kebaikan tersebut.

Setelah itu Rasul bertanya, bagaimana untuk mencapai derajat itu? Tahukah kalian? Nabi menjawab bahawa mencapai derajat tinggi itu bukan dengan kerana banyaknya solat dan haji tetapi mereka mencapai kerana pertama as-sakhāwah (kedermawanan) dan kedua, an-nasīhah lil muslimīn (hatinya tulus terhadap sesama Muslim).

Allah akan mengangkat derajat perbuatan tersebut dengan taraf tauhid af’āl iaitu maqam khusus kepada orang-orang yang selalu berkhidmat kepada sesama manusia.

Apatah lagi khidmat itu memerlukan pengorbanan dalam diri, apa yang kita cintai dikorbankan demi kebaikan orang-orang lain.

Mendahului kesenangan orang lain daripada kehendak diri sendiri – tidak pentingkan diri kerana kemaslahatan umum lebih menjadi keutamaan.

Ada kisah disebut tentang sikap orang-orang beriman dengan janji Allah terhadap amal kebaikan yang dilakukan dengan itsār. Kisah Sayyidah Zainab, dan keluarga Baginda. Hal ini terungkap daripada tafsiran dalam Quran dalam surah al-Insān ayat 7-9.

“Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih.”

Tafsiran surah al-Insān ini boleh dirujuk daripada nukilah Zamakhsyari dalam Tafsir al-Kasysyāf juga daripada Abdullah bin Abbas:

Suatu hari di Madinah, putra Fatimah ra iaitu Hasan dan Husain sakit. Rasulullah dan beberapa sahabat hadir menziarahi mereka. Mereka mencadangkan kepada suami Fatimah, iaitu Saidina Ali Abi Thalib untuk mengucapkan nazar beliau demi kesembuhan dua putranya.

Kemudian Saidina Ali, Fatimah ra dan pembantu mereka telah bernazar bahawa sesungguhnya jika dua putranya itu sembuh maka mereka akan berpuasa selama tiga hari.

Tidak lama selepas itu, anak mereka sembuh. Maka mereka pun berpuasa. Pada hari pertama saat keluarga mereka dalam kesusahan memerlukan makanan, Saidina Ali membawa gandum dan memberi kepada isterinya untuk menggiling sepertiga hingga menjadi tepung untuk beberapa potong roti sebagai juadah berbuka puasa.

Menjelang petang ketika sedang menyiapkan hidangan roti untuk berbuka puasa tiba-tiba datangnya orang miskin ke rumah mereka untuk memohon makanan kerana kelaparan.

Dengan ihsan dan itsār maka seluruh keluarga Saidina Ali berasa empati dan menghulurkan semua makanan mereka kepada si miskin tersebut dengan roti yang sepatutnya mereka makan untuk berbuka puasa.

Justeru mereka hanya berbuka puasa dengan air sahaja. Hari kedua puasa mereka juga didatangi oleh anak-anak yatim maka sekali lagi diberikan roti yang sepatutnya menjadi juadah berbuka puasa mereka dan akhirnya mereka hanya meminum air sahaja.

Sehingga hari terakhir iaitu hari ketiga puasa mereka telah didatangi oleh tawanan sekali lagi mereka memberikan roti. Sejak hari pertama sehingga hari ketiga mereka hanya minum air sahaja.

Pada hari keempat mereka berjumpa Rasulullah dalam keadaan yang menggigil dan tubuh yang sakit akibat kelaparan yang amat dahsyat sehingga diketahui nabi.

Baginda terharu dan sedih; Maka ketika itu Jibril datang dan berkata “Wahai Muhammad terimalah surah ini. Allah SWT memberi anda selamat kerana mempunyai keluarga seperti ini”.

Moga kita dapat belajar daripada kisah ini dan menjadi Muslim yang berihsan.

Justeru, berbaki Ramadan kali ini, masyarakat beragama yang sejagat haruslah menghayati makna Islam dengan memahami makna hakikat ihsan. Khususnya pelaksanaannya terhadap seluruh makhluk di alam semesta ini.

Janganlah kita menjadi Muslim tanpa ada sikap Ihsan. – 14 April, 2023.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen