BEKALAN ubat-ubatan di kaunter nampaknya stabil tepat pada masanya sebelum musim perayaan Hari Raya bermula, kata Presiden Persatuan Farmaseutikal Malaysia Amrahi Buang.
Walaupun terdapat kebimbangan terhadap gelombang baharu Covid-19 pada Januari tahun ini, beliau berkata bekalan ubat stabil sejak itu kerana tiada laporan kekurangan dibuat kepada kumpulan itu baru-baru ini.
“Saya membuat semakan dengan farmasi di seluruh negara, tiada laporan kekurangan ubat.
“Walaupun terdapat amaran peningkatan jangkitan (Covid-19) dan orang ramai bimbang mengenainya, kita tidak nampak tergesa-gesa atau panik membeli ubat.
“Berbanding beberapa bulan lalu, bekalannya lebih baik. Orang ramai boleh membeli ubat di kaunter tanpa sebarang masalah,” kata Amrahi kepada The Malaysian Insight.
Kekurangan ubat-ubatan tanpa preskripsi atau ubat-ubatan yang tidak ditetapkan menjadi isu sejak permulaan pandemik Covid-19.
Pada Disember 2022, Amrahi mengakui farmasi di negara ini terus berdepan kekurangan ubat-ubatan tanpa preskripsi tetapi keadaan itu boleh dikawal.
Beliau berkata kekurangan itu hanya melibatkan jenama tertentu kerana ubat generik dan jenama lain masih ada.
Kekurangan itu melibatkan ubat-ubatan seperti parasetamol, ubat batuk, ubat keracunan makanan dan alahan.
Sedia bekalan menjelang musim perayaan
Memandangkan tiada kekurangan dilaporkan dan menjelang Hari Raya yang semakin hampir, Amrahi menggesa orang ramai supaya menyediakan ubat-ubatan yang diperlukan tetapi tidak menyimpannya.
“Sudah tentu apabila mereka melakukan perjalanan jauh, kurang tidur, makan berlebihan pada musim perayaan dan sebagainya…mereka akan memerlukan ubat.
“Tidak salah untuk bersiap sedia tetapi kita menasihatkan orang ramai supaya tidak panik membeli atau menyimpan ubat. Beli apa yang perlu,” katanya.
Beliau juga menggalakkan mereka yang melawat warga emas atau mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi untuk melakukan ujian kendiri Covid-19.
“Saya fikir melakukan ujian Covid-19 sebelum melawat warga emas dan mereka yang berada dalam kumpulan berisiko adalah amalan yang baik.
“Ini untuk melindungi diri mereka sendiri dan ia berkemungkinan dapat mengelakkan sebarang penularan jangkitan. Hanya untuk selamat dan bukannya menyesal di kemudian hari,” katanya.
Beliau juga menggesa mereka yang menunjukkan sebarang gejala untuk menggunakan topeng muka dan sentiasa membersihkan diri.
Covid-19 belum diisytiharkan sebagai endemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Bagaimanapun bagi membolehkan semua sektor ekonomi disambung semula Malaysia memasuki fasa “peralihan kepada endemik” Covid-19 sejak 1 April 2022.
Sejak dua minggu lalu, jangkitan Covid-19 harian meningkat dengan angka menghampiri empat digit. – 12 April, 2023.
Komen