Bekalan ubat tanpa preskripsi kurang tapi tak serius


Ravin Palanisamy

Presiden Persatuan Ahli Farmasi Malaysia itu berkata kekurangan itu hanya melibatkan jenama tertentu kerana ubat generik dan jenama lain masih ada. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2022.

FARMASI di Malaysia terus berdepan masalah kekurangan bekalan ubat di kaunter walaupun isu itu tidak serius, kata Amrahi Buang.

Presiden Persatuan Ahli Farmasi Malaysia itu berkata kekurangan itu hanya melibatkan jenama tertentu kerana ubat generik dan jenama lain masih ada. 

Kekurangan itu melibatkan ubat-ubatan seperti parasetamol, ubat batuk, ubat keracunan makanan dan alahan.

“Saya tak akan kata situasi sudah pulih sepenuhnya.

“Saya pergi ke beberapa tempat dan masih tidak dapat beberapa jenama (ubat-ubatan). Ada yang tiada stok langsung.

“Tetapi, ubat generik masih ada dan kerana itu kekurangan bekalan bukan satu isu pada ketika ini,” kata Amrahi kepada The Malaysian Insight.

Awal tahun ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata lonjakan permintaan untuk ubat di kaunter, gangguan rantaian bekalan dan pengecilan operasi pengeluaran ketika pandemik Covid-19 menyebabkan kekurangan ubat-ubatan di seluruh negara.

Ditambah pula dengan peningkatan kes Covid-19 dan penemuan varian baharu Omicron, dilaporkan yang farmasi dan kedai serbaneka mengalami kekurangan bekalan ubat di kaunter.

Antaranya adalah jenama parasetamol terkemuka, Panadol, yang digunakan untuk demam dan sakit kepala.

Mengakui kekurangan bekalan jenama tertentu, Amrahi berkata bekalan memang tidak konsisten sejak tahun lepas.

“Untuk jenama tertentu, bekalan memang tidak konsisten lebih setahun. Saya memang pantau isu ini.

“Ada kalanya banyak, ada kalanya sedikit,” katanya.

Bagaimanapun, Amrahi berkata ia bukanlah isu membimbangkan kerana pemain industri masih belum membangkitkan perkara tersebut.

“Pada masa sekarang, mereka tak maklumkan kepada saya yang isu ini membimbangkan. Jadi saya percaya, ia bukan isu,” jelasnya.

Pada Julai lepas, Khairy Jamaluddin, menteri kesihatan ketika itu, berkata kementerian akan mengedarkan simpanan ubat-ubatan persekutuan kepada hospital dan klinik swasta bagi menangani isu kekurangan bekalan.

Timbalannya, Dr Noor Azmi Ghazali pula berkata beliau menjangkakan kekurangan bekalan akan dapat diatasi dalam dua minggu.

Bagaimanapun, tiada pelan didedahkan oleh kementerian.

Beberapa organisasi kesihatan mendesak Kementerian Kesihatan memperkenalkan dasar untuk rakyat Malaysia memulangkan semula ubat-ubatan yang tidak digunakan dan berlebihan bagi mengatasi kekurangan bekalan dalam negara. – 10 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen