Buat dasar 'pulang dan guna semula ubat', kata kumpulan kesihatan


Ravin Palanisamy

Negara dapat berjimat puluhan juta ringgit jika kerajaan memperkenalkan dasar pemulangan ubat untuk digunakan semula kepada pesakit yang memerlukan, kata Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia. – Gambar EPA, 29 Jun, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) harus memperkenalkan dasar supaya rakyat Malaysia memulangkan ubat yang tidak digunakan atau berlebihan bagi menangani krisis kekurangan ubat negara, kata pertubuhan kesihatan.

Angka tepat jumlah ubat yang dibazirkan setiap tahun tidak tersedia, namun laporan berita sebelum ini menganggarkan ia bernilai puluhan juta ringgit melibatkan ubat yang dikeluarkan oleh kemudahan kesihatan kerajaan.

Atas pelbagai sebab, pesakit tidak menggunakan ubat mereka atau sama ada membuangnya ke dalam tong sampah atau mengembalikannya ke hospital atau klinik.

Andai kerajaan mempunyai dasar yang membenarkan ubat tidak diguna, dipakai semula, ini akan mengelakkan pembaziran, menjimatkan kos selain menolong pesakit lain, kata Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr Murallitharan Munisamy.

“Sistem kita tidak lengkap untuk pemulangan ubat atau kumpul dan guna semula ubat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, banyak ubat disia-siakan kerana tiada dasar untuk menggunakannya semula atau tidak memberitahu pesakit untuk memulangkan ubat yang tidak digunakan.

Terdapat lebih banyak kesedaran tentang penggunaan semula ubat untuk orang lain di kalangan pesakit kanser dan penjaga mereka, kerana ubat kanser mahal.

Hospis Malaysia, sebagai contoh, menerima sumbangan ubat-ubatan termasuk morfin yang ditinggalkan selepas pesakit kanser meninggal dunia.

NCSM juga buat perkara sama, kata Dr Murallitharan. Apabila pesakit kanser meninggal dunia, ada ahli keluarga akan bawa kotak ubat ke NCSM untuk diedarkan kepada pesakit lain yang memerlukannya.

“Kita perlu lihat perkara ini berlaku secara meluas. Kita perlu mendidik orang ramai tentang perkara ini selain mempunyai sistem yang telus untuk mereka bawa atau pulangkan ubat-ubatan yang tidak digunakan.

“Yang penting, kita perlu ada dasar peringkat kebangsaan,” katanya.

Laporan berita menyebut puluhan juta ringgit terbazir kerana ubat-ubat kerajaan yang tidak digunakan oleh pesakit telah dibuang begitu sahaja. – Gambar EPA, 29 Jun, 2022.

Pada 2010, KKM telah memperkenalkan Program Pemulangan Ubat (PPU) untuk dilupuskan dengan selamat oleh kementerian.

Kementerian berkata ubat-ubatan yang tidak diperlukan lagi boleh dipulangkan ke kaunter farmasi atau kotak pemulangan ubat yang disediakan di semua fasiliti farmasi di hospital kementerian dan klinik kesihatan KKM.

Bagaimanapun, program ini hanya untuk pelupusan dan bukan untuk digunakan semula, kata Pengurus Assisi Palliative Care Berhad (ASPAC), Malliga Perumal.

Ini, tegasnya, membazir.

“Apabila ubat-ubatan itu dikembalikan kepada kemudahan kerajaan, apa yang mereka buat?

“Jika ia telah tamat tempoh, maka ia perlu dilupuskan tetapi jika ia masih boleh digunakan, mengapa dibuang?” soalnya.

Malliga berkata kerajaan boleh berikan ubat yang belum tamat tempoh kepada pesakit yang tidak mampu memneli.

ASPAC menerima sumbangan ubat-ubatan yang baru atau tidak digunakan, katanya.

Ahli farmasi mereka memeriksa ubat-ubatan yang didermakan sebelum memberikannya semula kepada pesakit lain.

“Ahli farmasi kami akan pastikan ia tidak luput dan ubat tidak dibuka.

“Ia kerja yang membosankan tetapi kami perlu buat juga sebab kami tidak boleh terus beri kepada pesakit. Namun, sekurang-kurangnya kita tidak buang ubat yang masih boleh digunakan,” katanya.

Malliga berkata ASPAC telah melakukan ini walaupun tiada dasar daripada kerajaan, kerana amalan itu membantu pesakit yang dalam penjagaan mereka. – 29 Jun, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen