LANGSUNG: Isteri aktivis Amri Che Mat beri keterangan hari ini


Noel Achariam

Pada 23 Januari, isteri Amri, Norhayati Ariffin, menjadi saksi pertama yang dipanggil untuk memberi keterangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2018.

SIASATAN awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ke atas aktivis Amri Che Mat yang hilang diteruskan hari ini. Isterinya, Norhayati Ariffin, akan memberi keterangan.

Pada 23 Januari, Norhayati menjadi saksi pertama yang dipanggil untuk memberi keterangan. Pada keterangan awalnya, Norhayati memberitahu yang dia mengesyaki pihak berkuasa agama Perlis, Mufti Perlis Mohamad Asri Zainul Abidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim bertanggungjawab atas kehilangan suaminya.

Norhayati memberitahu panel Suhakam bahawa Asri dan Shahidan mengecam organisasi yang ditubuhkan oleh Amri, Perlis Hope, yang bertujuan untuk membantu golongan miskin di Perlis.

Siasatan itu juga mendengar keterangan Yousri Khalid, iaitu pengawal keselamatan yang didakwa menyaksikan penculikan Amri.

Ketika siasatan, pemerhati polis iaitu Ketua Polis Daerah Sentul R. Munusamy, mendakwa Yousri berbohong.

Menurut Munusamy, keterangan yang diberi pada siasatan berbeza dengan laporan polis yang dibuat.

Amri diculik 550m dari rumahnya di Padang Behor, Kangar. Polis kemudian menemui keretanya di Bukit Chabang.

Amri, 43, merupakan anggota ekspedisi Everest 1997, ekspedisi yang mencatatkan sejarah pertama kali rakyat Malaysia menawan gunung tertinggi di dunia itu.

Pada malam dia hilang, Amri memberitahu anak sulungnya dia hendak keluar. Amri mempunyai empat anak berumur 19, 17, 15 dan 10, semuanya perempuan.

Dalam laporan polisnya, isteri Amri, Norhayati Ariffin berkata pada hari kejadian ada kereta dan motosikal yang tidak dikenali diparkir dekat rumah mereka.

Siasatan awam Suhakam dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Panel itu bertujuan untuk menentukan sama ada penculikan Koh dan Amri, serta kehilangan dua yang lain – Joshua dan Ruth Hilmy – pada 2016, adalah kes kehilangan paksaan yang dilakukan pihak berkuasa negara ini.

The Malaysian Insight melaporkan perkembangan terkini sesi pendengaran hari ini. – 19 Mac, 2018.

3.40pm: Berkenaan isu sama ada Amri terlibat dengan pernikahan mutaah, Norhafizal memberitahu dia tidak tahu mengenai perkara itu.

Peguam keluarga Amri kemudian bertanya kepada Norhafizal jika Asri ada menyebut mengenainya ketika pertemuan mereka.

Norhafizal menjawab dia tidak pasti sama ada Amri terlibat dengan nikah mutaah dan dia sekali memberitahu yang dia tidak tahu.

Kemudian, pemerhati polis bertanya kepada Norhafizal apakah isu sebenar yang dibincangkan di Jabatan Mufti Perlis, dan dia sekali menjawab yang dia tindak ingat kerana ia berlaku dua tahun lepas.

Mungkinkah nikah mutaah disebut ketika pertemuan itu, soal pemerhati polis. 

Norhafizal menjawab dia tidak ingat, tetapi berkata dia pasti akan ingat tentang isu hangat seperti nikah mutaah.

Siasatan berakhir dan akan bersambung esok.

3.25pm: Soalan kemudian beralih kepada pertemuan antara Amri dan Asri di Jabatan Mufti Perlis.

Norhafizal berkata ke Jabatan Mufti Perlis sehari selepas serbuan.

“Ada kira-kira 12 orang di sana dan pertemuan berlangsung selama sejam.

“Asri bertanya tentang Syiah dan aduan yang mereka terima.

“Saya tak ingat sangat sebab berlaku dua tahun lepas.”

Pegawai Suhakam kemudian bertanya sama ada Amri ada membuat sebarang pengakuan kepada Asri.

Norhafizal berkata Amri mengaku kepada Asri yang dia seorang Syiah.

3.05pm: Norhafizal ditanya pegawai Suhakam sama ada dia terlibat dengan Perlis Hope.

Norhafizal menjawab yang dia merupakan bendahari organisasi itu.

“Saya salah seorang penandatangan cek dan saya juga membantu bina rumah serta mengedar beras untuk golongan miskin.”

2.45pm: Pegawai Suhakam menyoal Norhafizal sama ada dia berada di rumah Amri  ketika serbuan dibuat.

Norhafizal memberitahu yang dia ada di rumah Amri ketika polis dan Asri datang menyerbu.

“Asri kata tujuan serbuan itu dibuat kerana mereka menerima aduan dari orang kampung yang Amri terlibat dengan Syiah.

“Asri kemudian bertanya jika mereka boleh masuk, dan saya benarkan kerana saya takut sebab ada ramai orang.

“Kemudian Asri bertanya di mana Amri dan saya kata saya tak tahu.”

2.35pm: Panel siasatan memangggil saksi keempat iaitu abang Norhayati, Norhafizal Ariffin.

Pegawai Suhakam bertanya kepadanya sekiranya dia mendapat tahu mengenai kehilangan Amri.

Norhafizal berkata dia mendapat tahu mengenainya ketika mendapat panggilan dari polis.

Pegawai Suhakam kemudian bertanya jika Norhafizal tahu sama ada Amri telah disiasat oleh mana-mana pihak berkuasa dan Jabatan Mufti Perlis.

Norhafizal menjawab dia tidak tahu.

2.25pm: Peguam keluarga Amri tanya Anuar bilakah polis menyoalnya dan kenapa dia beritahu polis yang dia fikir pihak berkuasa terlibat.

Anuar berkata dia fikir pihak berkuasa terlibat kerana terdapat posting Facebook mengenai pertemuan Bukit Aman dengan Asri.

Peguam berkata pertemuan antara Mufti Perlis dan polis berlaku sebulan sebelum Amri hilang.

Kemudian peguam bertanya adakah Anuar fikir Bukit Aman perlu menjelaskan mengenai pertemuan itu, dan dia menjawab ya.

1.05pm: Peguam keluarga Amri tanya Anuar bila kali terakhir dia bercakap dengan polis.

Anuar berkata kali terakhir beliau bercakap dengan Inspektor Koh dari IPD Kangar pada Januari tahun ini.

“Koh telefon saya dan beberapa rakan untuk datang kenal pasti suspek yang mereka tahan berhubung kehilangan Amri.

“Bila kami tiba di balai polis, Koh tunjukkan gambar seorang lelaki memakai baju lokap.

“Dia kemudian tanya adakah kami kenal suspek. Kami kata tidak kenal orang itu.”

Peguam kemudian tanya Anuar adakah dia fikir Amri diculik oleh sesiapa.

Anuar berkata beliau percaya sesiapa yang mengambil Amri ada duit dan tidak takut (untuk melakukan penculikan itu).

Siasatan itu ditangguhkan untuk makan tengah hari.

12.35pm: Peguam keluarga Amri menyoal Anuar mengenai sebarang maklumat terkini dari polis.

Anar berkata Inspektor Koh memberitahunya yang kes Amri telah dirujuk kepada Bukit Aman.

“Apabila saya tanya siapa yang kami boleh tanyakan mengenai kes Amri di Bukit Aman, Koh berkata dia tidak tahu.”

12.20pm: Peguam keluarga Amri bertanya kepada Anuar sekiranya ada perkara lain yang sepupu Amri perasan mengenai kesemua kenderaan itu.

Kata Anuar, dia diberitahu bahawa kesemuanya diparkir 300 meter dari rumah Amri.

“Sepupunya juga berjaya mencatit nombor pendaftaran kenderaan Toyota Vios Gold- PFC 1623.

“Kami kemudian menyerahkan nombor pendaftaran itu  kepada polis.

“Polis memberitahu kami yang itu nombor pendaftaran palsu.”

11.55am: Peguam keluarga Amri menyoal Anuar Ismail (rakan Amri) mengenai beberapa kereta yang mencurigakan di luar rumah Amri sebelum kehilangannya.

Anuar berkata sepupu Amri nampak kereta-kereta tersebut beberapa hari sebelum Amri hilang.

“Sepupunya beritahu kami ada sebuah kereta Toyoya Vios, Honda Civic dan tiga buah trak pikap.

“Semuanya bercermin gelap dan dia tidak nampak siapa di dalamnya. Dia (sepupu) juga beritahu kami kesemua enjin dihidupkan lampu kereta dipadamkan.”

11.20am: Pesuruhjaya Aishah bertanya kepada Norhayati mengenai Asri yang telah berkata pejabat mereka ada menerima aduan berkenaan Amri.

Aishah kemudian bertanya sama ada Norhayati tahu mengenai sebarang aduan yang diajukan ke Jabatan Mufti Perlis.

Norhayati berkata Asri tidak bercakap benar.

“Amri juga tak pernah menyebut tentang apa-apa aduan.”

Siasatan awam berhenti rehat sebentar.

11.10am: Peguam keluarga Amri menyoal Norhayati sekiranya Amri pernah berkahwin sebelum ini.

Norhayati memberitahu Amri telah berkahwin dari 2005 hingga 2010.

Seterusnya, peguam bertanya adakah ianya nikah mutaah, dan dia menjawab bukan.

Peguam bertanya lagi, bidang apakah yang diambil anak-anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di Iran.

Norhayati memberitahu mereka mengambil bidang yang berbeza tetapi kesemuanya dalam bahasa Parsi.

11.05am: Peguam keluarga Amri bertanya kepada Norhayati adakah Amri menjalani nikah mutaah seperti yang di dakwa Asri dalam temu bualnya, dan Norhayati menjawab tidak.

Peguam kemudian bertanya apakah maksud nikah mutaah, yang mana Norhayati menjawab ia adalah pernikahan sementara.

11.00am: Peguam keluarga Amri bertanya kepada Norhayati mengenai kenyataan Asri yang menyebut bahawa ketika serbuan, rumahnya dipenuhi dengan gambar-gambar imam Syiah dan terdapat juga tempat ibadat bagi penganut Syiah.

Norhayati menafikan kenyataan Asri itu.

10.45am: Peguam keluarga Amri bertanya kepada Norhayati mengenai temu bual dengan Asri pada Januari.

Peguam bertanya adakah ketika temu bual itu Asri memberitahu yang polis tidak bertindak kasar atau menjerit kepada anak-anaknya.

Norhayati berkata yang kata-kata Asri itu tidak benar kerana dia mendengar polis menjerit kepada anak-anaknya.

Peguam kemudian bertanya siapakah yang mula-mula sampai di rumah, dan dia menjawab sekumpulan orang dan pihak polis.

10.30am: Peguam keluarga Amri seterusnya menunjukkan Norhayati satu posting Facebook Mufti Perlis Mohamad Asri Zainul Abidin yang dimuat naik pada Januari 2018.

Norhayati diminta peguam untuk membacakan isi kandungan posting itu.

Norhayati berkata dalam posting tersebut, Asri menyatakan yang mereka (Amri) ada kaitan dengan Syiah.

“Dalam postingnya, dia kata, tengok gambar-gambar yang diambil ketika serbuan di rumahnya pada 21 Oktober, 2016.”

Peguam kemudiannya bertanya kepada Norhayati sekiranya terdapat bukti di dalam posting Facebook itu yang menunjukkan sebarang kaitan dengan Syiah.

Norhayati menjawab tiada apa di dalam posting itu yang menunjukkan sebarang kaitan dengan Syiah.

10.10am: Peguam keluarga Amri bertanya kepada Norhayati mengenai butiran anak-anaknya yang telah dibincangkan pada sesi sebelum ini.

Peguam kemudian menunjukkan kepada Norhayati gambar pertama dan memintanya supaya mengenalpasti siapakah ketujuh-tujuh kanak-kanak perempuan di dalam gambar tersebut.

Kata Norhayati, salah seorang dari mereka ialah anak angkatnya yang sedang belajar di sebuah universiti di Iran.

Kemudian, peguam menunjukkan Norhayati gambar kedua dan memintanya mengenalpasti individu di dalam gambar itu.

Norhayati memberitahu itu ialah anak perempuannya yang sedang berdiri di hadapan universitinya di Iran.

Seterusnya, peguam menunjukkannnya gambar ketiga dan meminta Norhayati memberitahu siapa individu di dalamnya.

Norhayati memberitahu salah seorang inidvidu di dalam gambar itu ialah anak angkat prempuannya yang sedang berdiri di hadapan universitinya di Iran.

9.50am: Peguam keluarga Amri bertanya kepada Norhayati bila Amri kembali ke Malaysia, dan dia menjawab pada 24 November, 2016.

Kemudian peguam meminta Norhayati menunjukkan di mana cop kemasukan ke Malaysia.

Norhayati berkata tiada cop.

“Memang jadi kebiasaan Imigresen Padang Besar tidak meletakkan cop kepada sesiapa yang masuk tak sampai sebulan,” katanya.

9.35am: Peguam Amri meminta saksi pertama, Norhayati, menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan ketika sesi pendengaran pendengaran sebelumnya yang dijalankan pada Januari.

Peguam bertanya sekiranya Norhayati ada membawa pasport Amri untuk pengesahan.

Norhayat kemudian menyerahkan pasport Amri kepada panel.

Seterusnya, peguam bertanya kepada Norhayati bilakan kali terakhir Amri ke Thailand, dan Norhayati menjawab pada 8 November, 2016.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen