Isteri aktivis Amri Che Mat salahkan mufti Perlis, Shahidan


Noel Achariam

Norhayati Ariffin memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang menjalankan siasatan terhadap kehilangan Amri yang Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Shahidan seringkali mengutuk badan amal suaminya iaitu Perlis Hope. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Januari, 2018.

ISTERI kepada aktivis Perlis yang hilang, Amri Che Mat percaya pihak berkuasa agama negeri, Mufti Perlis Mohamad Asri Zainul Abidin dan menteri di Janatan Perdana Menteri Shahidan Kassim bertanggungjawab atas kehilangan suaminya.

Norhayati Ariffin memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang menjalankan siasatan terhadap kehilangan Amri yang Jabatan Mufti Negeri Perlis  dan Shahidan seringkali mengecam badan amal suaminya iaitu Perlis Hope.

“Jabatan Mufti Negeri Perlis mengecam aktiviti Perlis Hope membantu golongan miskin. Shahidan juga mengecam Perlis Hope di Facebooknya.

“Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin (Maza) juga memberi amaran kepada rakyat supaya berhati-hati mengenai aktiviti Perlis Hope yang berkaitan dengan keganasan,” kata Norhayati yang menjadi orang pertama memberi keterangan pada sesi pedengaran hari ini.

Amri kali terakhir dilihat isteri dan keluarganya pada 24 November 2016.

Norhayati berkata pada 2015, kira-kira 20 pegawai daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis dan polis datang menaiki 10 kereta menyerbu rumah mereka.

“Mufti Perlis Maza juga ada di sana dan meminta masuk ke rumah dan saya tidak membenarkan mereka kerana suami saya tidak berada di rumah.

“Polis mula menjerit kepada anak bongsu saya yang berada di luar rumah ‘di mana ayah kamu’.

“Mereka kemudian memecah masuk Perlis Hope yang terletak di sebelah rumah saya.

“Mereka kemudian datang dan mengambil kenyataan tentang aktiviti Perlis Hope dan pergi.”

Norhayati juga berkata Maza kemudian memintanya datang ke pejabat Jabatan Mufti Negeri Perlis.

“Saya ke pejabat beliau keesokan harinya,” katanya.

Siasatan Suhakam terhadap empat individu yang hilang diteruskan hari ini selepas berehat selama seminggu.

Apabila ditanya mengapa dia berfikir Shahidan dan Jabatan Mufti Negeri Perlis mengecam badan amal suaminya, Norhayati berkata mereka tidak selesa dengan perhatian yang diperolehi dengan membantu golongan miskin.

“Perlis Hope membina rumah berhampiran rumah Shahidan untuk golongan miskin dan kami juga memberikan beras kepada golongan miskin.

“Mungkin ia akan kelihatan seperti orang Perlis Hope yang melakukan semua aktiviti dan mereka tidak banyak membantu orang miskin.”

Shahidan merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Menurut Norhayati, aktiviti Perlis Hope hanya tertumpu kepada memberi bantuan kepada golongan miskin dan ia tiada kaitan dengan mana-mana NGO serta aktiviti keagamaan.

“Kami membantu semua kaum, daripada Melayu, Cina dan India.

“Kami mendapat dana untuk melakukan kerja amal daripada pelbagai sumbangan.

“Kami hanya membantu orang miskin.”

Siasatan Suhakam terhadap empat individu yang hilang diteruskan hari ini selepas berehat selama seminggu.

Siasatan itu dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Panel itu bertujuan untuk menentukan sama ada penculikan Koh dan Amri, serta kehilangan dua yang lain – Joshua dan Ruth Hilmy – pada 2016, adalah kes kehilangan paksaan yang dilakukan pihak berkuasa negara ini. – 22 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen