Isu pengampunan Najib: Tiada desakan politik, kata Zahid


Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berkait kes rasuah SRC International yang melibatkan RM42 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2023.

HASRAT Umno mempersembah permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pertimbangan pengampunan kepada bekas presiden parti itu Najib Razak adalah mengikut prosedur perundangan sedia ada dan tiada desakan politik.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya telah mengikuti semua prosedur perundangan sedia ada sebelum membuat rayuan kepada Lembaga Pengampunan untuk memberi pertimbangan itu.

“Kami sebagai sebuah parti politik tentunya mengikut semua prosedur perundangan sedia ada dan apabila prosedur diikuti, ia terserah kepada Lembaga Pengampunan,” katanya selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Kelantan 2023 di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu di Machang, hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata pihaknya sudah berikhtiar untuk memperoleh tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata isu itu tidak seharusnya berbangkit kerana sesiapa sahaja dibenar mengemukakan permohonan bagi memperoleh pengampunan dan semua pihak perlu mematuhi peraturan serta syarat yang ditetapkan. – Bernama, 9 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen