Lebih banyak laporan dibuat desak polis siasat RM9.5 juta Shafee


Diyana Ibrahim Noel Achariam

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad mengatakan terdapat empat tuntutan perlu dijawab Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Jun, 2017.

DUA lagi laporan polis dibuat hari ini untuk mendesak siasatan dilakukan ke atas dakwaan sejumlah RM9.5 juta dibayar kepada peguam terkenal Muhammad Shafee Abdullah.

Sayap Pemuda PKR Kebangsaan dan Selangor membuat dua laporan berasingan di balai polis Dang Wangi dan Shah Alam tengahari tadi.

Di Dang Wangi, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu wartawan yang terdapat empat isu yang polis patut siasat.

 Nik Nazmi berkata antara tuntutannya yang perlu disiasat ialah tujuan Najib Razak membayar Shafee RM9.5 juta dan apakah hubungan peguam Umno itu dengan perdana menteri sehinggakan sebesar itu wang disalurkan kepada akaun Shafee.

“Tuntutan ketiga ialah adakah pembayaran itu berkaitan dengan kes Anwar.

“Keempat, siapa lagi yang menerima bayaran daripada duit SRC International melalui akaun peribadi Najib,” katanya yang juga merupakan exco kerajaan negeri Selangor.

Dia turut menambah yang laporan polis turut dibuat Pemuda PKR seluruh Malaysia hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Selangor Afzainizam Rahman turut membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Shah Alam hari ini.

Afzainizam berkata jika benar RM9.5 juta itu ada kaitan dengan kes liwat Anwar, maka PKR mendesak Peguam Negara Mohamed Apandi Ali membuka semua siasatan.

“Jika dakwaan daripada laporan Sarawak Report itu benar maka kita mahu Anwar dibebaskan dengan serta merta.

“Kita juga akan membincangkan perkara ini dengan pimpinan tertinggi, sama ada mahu membawa isu itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau tidak,” katanya.

Pada 31 Mei lepas, Sarawak Report mendakwa dalam artikelnya bertajuk “Najib Paid Anwar’s Prosecutor RM9.5 Million From 1MDB Slush Fund WHY?” yang Shafee adalah “penerima individu terbesar yang menerima wang daripada akaun Najib yang berkaitan dengan 1MDB”.

Dakwaan itu mengatakan yang Najib membayar Shafee RM4.3 juta pada September 2013 dan RM5.2 juta pada Febuari 2014.

Wang itu, dakwa Sarawak Report, adalah daripada akaun bank “yang dikenalpasti menerima dana menggunakan duit yang dirompak perdana menteri melalui anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC, yang meminjam hampir RM4 bilion daripada tabung pencen penjawat awam KWAP”.

Sarawak Report berkata yang RM5.2 juta yang didakwa diterima Shafee pada Febuari 2014 dua minggu sebelum Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tidak bersalah pada tahun 2012 dalam dakwaan liwat kepada ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Shafee dilantik sebagai pendakwaraya awam semasa rayuan menentang keputusan tidak bersalah ketua umum PKR itu dalam dakwaan liwat terbaru pada 2014.

Ahad lepas, ahli majlis tertinggi Umno Nazri Aziz dilaporkan berkata tidak kisah samada Najib membayar Shafee atau tidak, kerana ia tidak memberi kesan kepada perbicaraan itu.

Nazri berkata yang bayaran kepada pendakwaraya dalam kes itu tidak menjadi pemberat dalam keputusan mahkamah.

Majlis Peguam sebelum ini turut mendesak polis untuk menyiasat dakwaan “serius” itu.

Presidennya, George Varughese memberitahu FMT yang walaupun masih terlalu awal untuk Majlis itu menghadapkan peguam itu ke Lembaga Displin Peguambela dan Peguamcara kerana kekurangan bukti kukuh, polis perlu memulakan siasatan seberapa segera.

Shafee masih belum memberikan maklum balas walaupun usaha untuk menghubunginya sudah dilakukan sejak minggu lepas. – 5 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen