MAJLIS Peguam mendesak polis menyiasat dakwaan “serius” bahawa Perdana Menteri Najib Razak membayar RM9.5 juta kepada ketua pendakwaraya kes perbicaraan liwat Anwar Ibrahim.
Presiden Majlis Peguam George Varughese memberitahu FMT yang walaupun masih terlalu awal untuk Majlis menghadapkan peguam tersebut kepada Lembaga Displin Peguambela dan Peguamcara kerana masih tidak mempunyai bukti cukup yang kukuh, polis perlu memulakan siasatan seberapa segera.
“Polis perlu menyiasat kes ini seteliti mungkin kerana dakwaan ini sangat serius,” kata Varughese.
Pada 31 Mei lepas, Sarawak Report melaporkan yang peguam Umno Muhammad Shafee Abdullah, ketua pendakwaraya dalam perbicaraan Anwar, dibayar RM9.5 juta, yang disalurkan terus daripada akaun Najib yang berpunca daripada 1MDB.
Shafee menolak permintaan The Malaysian Insights untuk memberikan penjelasan pihaknya.
Semalam, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan polis supaya menyiasat dakwaan itu bagi menjaga nama baik institusi kehakiman Malaysia. – 3 Jun, 2017.
Komen