Beragama dengan cinta


Mohd Syazreen Abdullah

Beragama tidak cukup sekadar dengan keyakinan iman dan hal ghaib. Bahkan dengan logika sekali pun belum tentu dapat membawa seseorang menikmati kebahagian yang dicari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2023.

KATA Rumi: “Tenggelamlah dengan khusyuk pada apa yang kamu cintai.” Atau: “Di manapun, bila pun, apa pun yang kamu lakukan, tumbuhkan kehangatan cinta.” Juga di kutipan lain: “Buka hati bagi setiap panggilan yang membuat batinmu riang.”

Rumi mahu menyimpulkan sepanjang umur usia kita, kecapilah kebahagian dengan menghidupkan rasa cinta. Masalah dunia dapat dihapuskan dengan cinta. Cinta bagi Rumi, tidak kenal siapa pun. Kita semua perlukan cinta. Semua manusia layak menikmati rasa cinta.

Rumi tidak menafikan agama sebagai jalan kebahagiaan. Tetapi beragama bagi Rumi harus tumbuh cinta kepada sesiapa pun dan apa pun yang dilakukan dalam hidup ini.

Beragama tidak cukup sekadar dengan keyakinan iman dan hal ghaib. Bahkan dengan logika sekali pun belum tentu dapat membawa seseorang menikmati kebahagian yang dicari.

Sebagai Muslim, kita seringkali membayangkan manusia di luar perlukan agama untuk bahagia. Kononnya agama dapat menyelamatkan dan membebaskan masalah kehidupan mereka hari ini.

Justeru, kita tidak habis-habis berdakwah, berceramah dan berdebat tidak sudah tentang bermacam-macam hukum dan persoalan agama berat-berat.

Kita anggap jawapan agama kita itu ia dapat memberi kebahagian dan menenangkan keresahan manusia di luar sana.

Kita berwacana, berdebat hal teologi dan falsafah yang berat-berat untuk membuktikan agama mampu memberi penyelesaian terhadap semua permasalahan dunia hari ini.

Sebenarnya kita silap. Kita syok sendiri.  Kita harus membuka mata dan luaskan perspektif.

Sesungguhnya agama bersulamkan cinta mendatangkan kebahagiaan. Beragama tanpa cinta mendatangkan korupsi. Tetapi tanpa agama, seseorang juga boleh bahagia. Kerana boleh jadi hari ini, agama tidak diperlukan oleh sebahagian manusia lain. Mereka boleh bahagia tanpa ada agama sekali pun.

Cuba lihat kajian dan data kuantitatif terhadap pengamalan beragama dunia hari ini. Pandangan manusia terhadap penerimaan agama tidak seperti kita bayangkan. Bahawa manusia di luar sana mencapai kebahagian bukan dengan tuntutan agama yang kita sangkakan dan perjuangkan semata-mata.

Menurut kajian di luar manusia lebih perlukan cinta. Kita sebaliknya melampau memberikan dos agama kepada masyarakat sehingga melupakan nilai cinta. Sifat berbentuk esensial.

Kajian yang dilakukan Denny JA, seorang pengkaji dalam buku “Ketika Agama Menjadi Warisan Kultural Milik” tulisan Ahmad Gaus AF, mengutip data kuantitatif merujuk di negara yang indeks kebahagiaannya tinggi (World Happiness Index), umumnya level beragama masyarakatnya rendah. Negara yang dikatakan warganya bahagia, merujuk World Happines Index, cenderung menganggap agama tak lagi penting dalam kehidupan mereka (diukur pada religiosity index).

Sebaliknya, kajian tersebut membuktikan indeks di negara lebih Islamik menunjukkan data korupsi tertinggi. Pemerintahannya cenderung korup. Kajian menunjukkan lebih 90% populasinya menyatakan agama sangat penting dalam hidup mereka. Di negara itu juga, tingkat korupsi pemerintahannya juga sangat tinggi (diukur dengan The Corruption Perception Index).

Agama tidak menjamin sesebuah masyarakat dan negara mencapai kebahagian. Sebaliknya menurut dapatan Denny JA, beliau menyimpulkan hidup seseorang menjadi bahagia dan bermakna bukan kekayaan. Bukan pula tingkat pendidikan. Bukan pula jenis kelamin, warna kulit dan agama yang dipeluk.

Malah, yang membuat seseorang dapat hidup bahagia adalah hadirnya intimacy. Tumbuhnya kehangatan cinta dengan hubungan peribadi. Wujud kasih sayang, cinta, perhatian dalam hubungan sosial.

Sesiapa pun, walaupun sudah memiliki kekayaan dan pendidikan tinggi dalam hidupnya tetap tidak akan merasa puas dan bahagia bahkan merana andai tidak ada cinta yang hadir dalam dirinya. Ia kesepian.

Selain itu, penulis mengatakan formulasi 3P tentang kebahagian atau spiritualiti baru yang dikecapi manusia moden hari ini selain kehangatan hubungan rasa disayangi (P)ersonal Relationship adalah dengan bersikap berfikiran (P)ositivity dalam memberi makna kebaikan kepada orang lain dan mempunyai (P)assion terhadap kerja yang kita lakukan dengan penuh cinta.

Kesemua ini bersangkutan dengan sikap dan nilai cinta.

Hal ini dikerjakan dengan memahami setiap hal kecil yang dapat membahagiakan kita. Manusia lebih menghargai Sense of Progress dan Small Winning dalam hidupnya.

Wacana esensial ini sepatutnya menjadi tempat dalam ruang masyarakat kita bagi lebih memupuk umat yang menghargai kasih dan sayang dalam sekecil-kecil kebaikan kepada sesiapa pun.

Dengan cinta, hidup kita lebih memberi dan bahagia apa yang kita berikan walau sekecil perkara. Derma atau pemberian tak selalu materi. Sebaliknya sikap dedikasi menumbuhkan orang lain dengan cinta.

Prinsip ini wujud dalam semua agama pun. Justeru, raihlah kemenangan kecil. Renungkan. Dalami. Seperti yang dikatakan Jalaluddin Rumi. “Hatimu diciptakan seluas samudera. Temukan panggilan hidupmu pada kedalaman yang tersembunyi.”

Demikian, kita harus mengubah trend wacana agama yang berlegar dalam ruang lingkup masyarakat beragama hari ini. Wacana agama hari ini lebih memfokuskan kesalahan umat. Menyalahkan dan menghukum. Tidak ada sedikit pun usaha menyuburkan wacana cinta dalam beragama dalam konteks kemanusiaan, sosial dan kebajikan.

Maka, selama ini agama yang kita perjuangkan dan perdebatkan di ruang sosial berhabis-habisan itu mahu bawa umat ke mana?

Perpecahan atau kebahagian?

Apakah agama kita sebarkan itu dapat menghadirkan pengalaman cinta yang boleh memberi kebahagian kepada kemanusiaan atau menjadikan umat lebih korupsi?

Jangan terkejut jika dapatan kajian indeks itu berjaya membuktikan manusia lebih bahagia tanpa agama. Umat jadi begitu kerana wacana agama yang kita tonjolkan mengundang kekerasan, anti kebebasan, anti toleransi dan marah-marah. Wacana agama yang tidak perikemanusiaan pasti tidak membahagiakan mereka pun. Malah tidak dapat menyelesaikan masalah hidup mereka.

Maka, dengan mengenal cinta, menumbuhkan banyak kebaikan.

Kita akan menjadi umat yang semakin berlapang dada, toleransi dan menghargai kebaikan tidak kira agama, bangsa dan siapa pun. Cinta kebaikan adalah milik bersama.

Malangnya, selama ini kita beragama bukan memupuk cinta. Tetapi kebencian. – 7 April, 2023.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen